BENTONG 6 Mei 2018 Bersamaan 21 Ramadan 1439 Hijrah – Penghuni 30 buah rumah yang menjadi mangsa ribut Felda Sertik Mukim Sabai di sini mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Berikutan laporan kejadian tersebut, baginda yang sinonim dengan gelaran Raja Berjiwa Rakyat menzahirkan rasa amat simpati dengan musibah yang melanda rakyat terutamanya ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut hari raya.

Tengku Abdullah yang berada di Johor Baharu bagi menghadiri pemakaman Almarhumah bonda mertua baginda mengampuni titah perkenaan mengurniakan sumbangan segera dihulurkan kepada mangsa-mangsa ribut itu. Baginda menitahkan kurniaan sumbangan tersebut menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan kurniaan peribadi baginda menerusi tabung kebajikan yayasan baginda, Yayasan Istana Abdulaziz (YIA).

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar YIA, Yang Hormat Dato’ Haji Abdul Munir Abd Basit bersama Setiusaha MUIP, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi Hussin petang semalam. Sebuah rumah yang mengalami kerosakan teruk menerima RM4,000, tiga buah masing-masing menerima RM1,000 dan 26 mangsa lagi kurniaan sebanyak RM600.

Pada kejadian semalam, kira-kira pukul 3.00 petang itu Felda Kampung Sertik dilanda hujan lebat dan ribut. Menurut laporan, ekoran ribut tersebut sebanyak 30 buah direkodkan mengalami kerosakan rosak struktur terutamanya bahagian bumbung.

Sejurus kejadian, pihak berkuasa PDRM tiba untuk memantau kejadian dan sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Bangunan GPW Felda Kg Sertik di bawah penyelarasan JKM dan Pengurus Felda Sertik. Nasib mangsa turut mendapat perhatianĀ Gerakan Persatuan Wanita dan Adun Sabai, YB Kamache yang turut meninjau lokasi bencana dan keadaan mangsa.

APM memberikan bantuan awal dengan membaiki rumah yang rosak manakala pihak TNB turut melakukan kerja-kerja penyambungan semula bekalan elektrik bagi kawasan yang terjejas.