KUANTAN. 1 Julai 2018 bersamaan 17 Syawal 1439H –  Kejayaan Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah hari ini menerima ucapan tahniah daripada ahli keluarga serta rakyat jelata.

Beliau merupakan anakanda ketiga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah yang menerima ijazah selepas Yang Mulia Tengku Amir Nasser dan Yang Mulia Tengku Iman Afzan.

Tengku Hassanal yang merupakan bekas pelajar di Sekolah Rendah St. Thomas Kuantan menyambung pelajar ke peringkat menengah dan Universiti di United Kingdom sebelum meneruskan pelajaran peringkat ijazah di Geneva, Switzerland

Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Hubungan Antarabangsa (BA- IR) selepas tiga tahun menuntut di The Geneva School of Diplomacy and International Relation (GSD).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang berlepas ke Geneva Jumaat lalu turut menghadiri dan menyaksikan Majlis Konvokesyen yang berlangsung hari ini.

Berbangga dengan kejayaan anakanda, Tengku Abdullah dan isteri, menzahirkan rasa bersyukur dan gembira.

“Alhamdulilah di atas kejayaan anakanda saya, Tengku Hassanal..sama seperti mana-mana ibu bapa yang lain saya dan isteri turut rasa bangga dgn pencapaian ini.

“Kami turut berdoa supaya Tengku Hasannal akan dapat mengaplikasi ilmu yang dimiliki untuk berkhidmat kepada negeri serta rakyat Pahang dengan sebaik mungkin,” titah baginda ketika dihubungi hari ini.