PEKAN. 7 Julai 2018 bersamaan 23 Syawal 1439H –  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bertitah agar kecemerlangan Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang unggul terus dikekalkan.

Baginda bertitah, cetusan ilham nenda baginda yang mahu sebuah pusat ilmu agama diwujudkan di negeri ini telah mencapai tujuan memartabatkan ilmu dan kefahaman Islam sejak 77 tahun lalu.

“Kuliah ini dikenali sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang ulung dan telah melahirkan ramai ilmuan agama yang kembali dapat menyumbang ilmu kepada masyarakat.

“Kuliah ini merupakan satu lambang hasrat dan usaha Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin yang memerintah Pahang ketika itu mahu melihat Islam berkembang maju di negeri ini.

“Ia telah terbukti memenuhi keperluan masyarakat yang mahu menyambung pelajaran dan pendidikan Islam ke peringkat yang lebih tinggi.

“Penumpuan diberi kepada pembelajaran agama dan bahasa Arab serta mendalaminya dan menepati matlamat penubuhan pusat pengajian ini,” titah baginda ketika merasmikan sambutan Jubli Intan Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Turut mengiringi, paduka anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Kesihatan Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia,

YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan, YB Abdul Rahim Muda.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menzahirkan rasa bangga apabila kuliah ini berjaya mencatat rekod cemerlang sebagai sekolah terbaik keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dalam negeri Pahang.

“Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2016 seramai 69 orang pelajarnya memperoleh keputusan mumtaz (cemerlang) semua mata pelajaran.

“Pada tahun 2017 pula, seramai 367 orang pelajar kuliah ini berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara iaitu di Mesir dan Jordan.

“Saya berharap kecemerlangan ini berterusan dan kemasyuran Kuliah Sultan Abu Bakar sebagai sebuah pusat pengajian ilmu agama yang terbaik sentiasa dikekalkan melalui kerjasama pihak termasuk keprihatian persatuan alumni yang dimaklumkan banyak memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk demi kemajuan dan jaminan pendidikan pelajar di sini.

Sementara itu, baginda bertitah pusat berkenaan menjadi permulaan terbaik dalam usaha menerapkan pegangan atau ajaran agama Islam di peringkat usia muda sekaligus menyukarkan penularan masalah sosial yang sentiasa menjadi ancaman dan kebimbangan umat Islam hari ini.

“Modal insan yang ingin dibangunkan di Pahang atau seluruh negara amnya tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi perlu diperkukuh dengan teras agama yang akan memelihara perilaku serta tindakan khususnya golongan muda.

“Jadi, saya melihat institusi ini telah berjaya menjadi sebuah pusat terbaik untuk menimba ilmu agama mahupun akademik seterusnya memupuk nilai mulia yang diterapkan sepanjang tempoh pengajian di sini,” titah baginda.

Baginda berharap agar setiap aktiviti yang dijalankan di sini terus dilaksanakan termasuk program Education for Ummah yang merupakan satu jalinan kerjasama perkongsiam ilmu antara negeri Pahang dan pihak Arab Saudi.