PEKAN. 18 Ogos 2018 Bersamaan 6 Zulhijjah 1439 Hijrah – Pengarah Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman Datuk Asri Yusoff mendahului senarai 199 penerima Darjah dan Pingat Kebesaran Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini. Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini, disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Turut mengiringi baginda, paduka kekanda dan adinda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Hajjah Meriam, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja, Tengku Muhaini dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Nong Fatimah dan paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Asri merupakan seorang daripada tujuh penerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri, bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DDO Holding Datuk Danish Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Dato’ Ahmad Azizi Ali.

Turut menerima SSAP ialah CEO I Destinasi Sdn Bhd Dato’ Adimus Putra Muhamad, Pengarah Urusan HL Porcelain Sdn Bhd Oh King Kuan, Pengarah Alam Armada Corp Sdn Bhd Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin dan Pengarah Urusan Desuvara (M) Sdn Bhd K. Kanthasamy. Dua individu pula menerima darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera, Pengarah Tanah dan Galian Pahang Dato’ Nazri Abu Bakar dan Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha’ari Ngadiman.

Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Ishak Muhammad, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YB Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman dan barisan ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran Dato’ kepada enam individu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan Dato’ Fadzilla Salleh, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Dato’ Zainuddin Yaacob dan Pengarah Urusan Global Station Sdn Bhd Datin Zaiton Muhd Jiwa.

Penerima lain DSAP ialah Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Dr Zairossani Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) (Pengurusan) Dr Zulkefli Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Omar Mammah.

Seramai 61 individu menerima darjah kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Timbalan CEO merangkap Ketua Pegawai Operasi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (KOPERASI) Dato’ Abdullah Jusoh, Pengarah Kastam Sarawak Datin Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan dan Penerbitan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) SAC Datin Dr Laila Ali.

Turut menerima DIMP ialah Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Pengerusi Eksekutif Malaysian Harvest Sdn Bhd Hiroshi Narisawa, Duta Besar Malaysia ke Perancis Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan Dr Wasitah Mohd Yusof.

Turut menerima DIMP ialah Pegerusi dan Pengarah SPNB Ahri Hashim, Pegawai Daerah Maran Zaman Azam Mohamad Sarif@Ahmat, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Pahang Samsu Anuar Nawi, Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah Abdul Wahabi Abdullah, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknik Kastam Iskandar Jaafar dan Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Brigedier Jeneral Ahmad Abd Rahman.

Penerima DIMP lain ialah Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Shahrul Othman Mansor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Othman Nanyan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang SAC Abdul Aziz Salleh, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman SAC Shahrul Lalli Masduki dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guai Hamzah Ibrahim.

Sultan Pahang juga mengurniakan DIMP kepada Ketua Syarikat Perumahan Negara Berhad Ahmad Islanizam A Halim, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah Abdul Rahman Mohd Zakaria, Komandan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara SAC Mohd Rafique Ramli Ariffin, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Bukit Aman SAC S. Sasikala Devi dan Pegawai Konsular Malaysia Jeddah Mohd Rais A Rahim.

Turut menerima DIMP ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan Kastam Zazuli Johan, CEO Prasarana Rail and Infrastructure Project Sdn Bhd Muhammad Isom Azis, Pengurus Besar Prolintas Sdn Bhd Ir Latib Rasol dan Pengarah Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Zulkepli Mohd Perai.

Pada istiadat itu, Pengarah Urusan Gear SNP Berhad Lu Kun Fong dianugerahkan darjah DIMP (Kehormat) selain lima individu menerima pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) (12 penerima), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) (10 penerima), Ahli Mahkota Pahang (AMP) (29 penerima), Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) (20 penerima),Pingat Kelakuan Terpuji (PKT)(14 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (32 penerima).

Semua penerima darjah dan pingat kebesaran itu termasuk tetamu diraikan Pemangku Raja Pahang dalam majlis santapan/makan tengah hari di Dewan Mulia, Istana Abu Bakar.