KUANTAN. 31 Ogos 2018 Bersamaan 19 Zulhijjah 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pagi ini berangkat bercemar duli menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Padang MPK 2, Jalan Mahkota di sini. Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, paduka-paduka anakanda putera dan puteri.

Turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Pengerusi Jawatankuasa Perbarisan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri, Yang Berhormat Dato’ Nazri Ngah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin politik.

Kira-kira 15,000 orang hadir membabitkan rakyat pelbagai kaum terutama dari sekitar daerah ini yang datang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’. Sebanyak 86 kontinjen termasuk 18 kontinjen berkenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta dengan kira-kira 4,313 peserta menyertai perarakan sambutan berkenaan.

Sempena perarakan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menampilkan kenderaan perisai termasuk jenis PT91 Pendekar yang membuat lintas hormat di hadapan Tengku Abdullah dan enam pesawat Sukhoi SU-30MKM dari 11 Skuadron Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang turut mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan Jalur Gemilang kepada  Kontinjen SUKMA negeri yang akan menggalas cabaran pada kejohanan sukan itu di Perak bulan depan.