KUANTAN 6 September 2018 Bersamaan 25 Zulhijjah 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengesahkan penyertaan baginda dalam pertandingan “Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2018″ yang berlangsung di Rompin pada 14 hingga 16 September ini.

Aktiviti tahunan bertaraf antarabangsa anjuran Kerajaan Negeri Pahang, Lembaga Perbadanan Tioman (TDA), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) itu sentiasa di hati baginda.

Bakal mencipta pengalaman kali kedua, baginda pernah menyertai pertandingan memancing ikan layaran dalam pertandingan sama pada tahun 2009.

Berbekalkan serba sedikit pengalaman menaikkan dua ekor ikan layaran pada penyertaan sembilan tahun lalu, pastinya baginda mempunyai strategi yang lebih baik untuk menjinakkan lebih banyak ikan layaran sekaligus memberi cabaran hebat kepada para peserta handalan yang turut menyertai pertandingan itu nanti.

“Insya Allah, saya akan memancing, alang-alang dijemput merasmi, lebih baik saya pergi memancing…bukan jauh pun,” titah baginda kepada Ketua Pengarang Portal Diraja Pahang ketika menghadap di Istana Adulaziz, petang semalam.

Pertandingan berkonsepkan ‘tangkap dan lepas’ itu semakin mendapat perhatian dan mempunyai pengikutnya sendiri.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang pada 15 September ini.