PEKAN. 17 Jun 2015, bersamaan 30 Syaaban 1436H – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu melancarkan Sistem Dana Wakaf Pahang atau e-WAKAF bagi memudahkan orang ramai berwakaf secara online serta turut memperluaskan operasi berwakaf dengan pembelian unit saham wakaf di kaunter-kaunter Pejabat MUIP Cawangan daerah seluruh negeri Pahang. Nilai minimum ditetapkan RM5.00 bagi menggalakkan lebih ramai individu melaksanakan amalan berwakaf. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tuanku Yang Dipertua Majlis, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis, YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan dalam ucapannya, beliau memaklumkan sistem e-WAKAF dapat menjimatkan masa dan tenaga pewakaf. Pewakaf juga dapat memperoleh rekod dan penyata wakaf secara dalam talian. Selain itu, penjanaan laporan wakaf juga dapat dilakukan secara efisien selain dapat menyebarkan info wakaf dengan lebih cepat dan tepat.

Pada majlis tersebut, turut dilangsungkan Majlis Pengurniaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014, Anugerah Khidmat Setia MUIP 2015 dan Pembayaran Zakat Perniagaan Korporat berjumlah RM3.84 juta daripada enam badan korporat antaranya, Bank Kerjasama Rakyat Berhad (RM1.26 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM1.04 juta), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (RM782,622.10), DRB Auto Solution Sdn. Bhd. (RM335,467), Alam Flora Sdn. Bhd. (RM285,475) dan Telekom Malaysia Berhad (RM128,469).

Pada sebelah pagi, baginda KDYTM Tengku Abdullah telah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis kali ke-165 yang bersidang di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah.

2 3 4 5