KUANTAN 7 Oktober 2018 Bersamaan 27 Muharam 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menggesa agar lombong terbiar perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib ekoran kejadian meragut nyawa di kawasan berkenaan terus berlaku. Baginda bertitah, kejadian terbaharu membabitkan enam anggota bomba yang lemas di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor adalah suatu yang begitu menyedihkan.

“Saya terkejut dan sedih apabila mendapat tahu berita ini. Saya tahu pun melalui Twitter.

“Masalah berkaitan lombong ini perlu diselesaikan segera, hendak tutup lombong tidak boleh jadi pihak berwajib perlu segera memikirkan langkah terbaik menyelesaikannya kerana kematian di lombong kerap kali berlaku,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Noor Nadia Kamaludin, 29, isteri Allahyarham Mohd. Fatah Hashim, 34, di Kampung Beserah Baru di sini hari ini.

Tengku Puan Pahang berangkat bercemar duli bagi mewakili suami baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Turut berangkat paduka anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah yang juga putera sulung Pemangku Raja Pahang.

Tunku Azizah bertitah, antara langkah terbaik adalah memagarkan kawasan lombong bagi memastikan orang ramai khususnya kanak-kanak tidak memasuki kawasan itu.

“Selain itu, kawasan lombong boleh juga dibangunkan dengan pusat rekreasi daripada dibiarkan menjadi tempat yang boleh meragut nyawa orang ramai,” titah baginda.

Baginda bertitah, di negeri ini juga banyak kejadian orang lemas di kawasan lombong terbiar dan penyelesaian segera perlu diambil. Terdahulu, baginda turut sama bertahlil bersama ahli keluarga arwah Allahyarham Mohd Fatah dan pelajar-pelajar Tahfiz Surau Haji Zainon, Beserah dan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada balu dan ibu Allahyarham Mohd Fatah. Turut hadir memuliakan keberangkatan Tengku Puan Pahang ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Norhisham Mohamed, timbalannya, Mohd Sani Harul dan 20 pegawai serta anggota bomba dari Ibu Pejabat Bomba Negeri Pahang.Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (1) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (2) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (3) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (4) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (5) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (6) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (7) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (8) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (9) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (10) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (11) Beri Perhatian Serius Kepada Lombong Terbiar (12)