LIPIS. 10 Oktober 2018 Bersamaan 1 Safar 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sistem pendidikan di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sewajarnya ditambah baik dengan memberikan tumpuan kepada aspek cintakan negara. Baginda bertitah, kebanyakan generasi muda hari ini tidak mendapat maklumat tepat mengenai sejarah institusi beraja dan juga menanamkan sikap sayangkan negara dalam kalangan mereka.

“Sudah sampai masanya (sistem) pendidikan kenegaraan diperkenalkan dan dimantapkan pada peringkat sekolah dan juga IPT dalam usaha membentuk semangat patriotisme.

“Selain itu, perlu juga diberikan pendedahan dengan lebih terbuka mengenai peranan dan fungsi sebenar serta kepentingan institusi beraja di negara ini,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, menerusi pendidikan dapat menyedarkan golongan terbabit akan kepentingan institusi beraja dalam mempertahankan warisan dan institusi negara supaya tidak terhakis.

“Raja-raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara, kewujudan institusi beraja menjadi asas jati diri bangsa, agama dan identiti negara.

“Namun hari ini, anak muda membesar dengan perhiasan kecanggihan teknologi dan kelajuan arus pemodenan, kita lalai dan leka dengan pelbagai idea dan fahaman yang boleh memesongkan agama dan identiti negara, ” tambah baginda.

Titah baginda lagi, raja, perlembagaan dan patriotisme adalah elemen yang membentuk negara ini.

“Kesatuan elemen ini menjadi tunjang kekuatan negara. Memahami sejarah dan apa yang tersurat serta tersirat dalam perlembagaan negara sangat penting bagi membentuk semangat patriotisme dan cintakan negara,” titah baginda.

Pada masa yang sama, Tengku Abdullah berharap wacana itu tidak menjadi pentas politik kerana pendirian baginda tidak berpihak kepada mana-mana parti.

“Janganlah pula wacana ini menjadi pentas menyalahkan atau meminggirkan pihak mana yang berkuasa dan yang mana pula tidak berkuasa.

“Jadikan wacana ini sebagai medan berkongsi pendapat, bertukar pandangan dan idea. Tujuan utama program adalah untuk berbincang mengenai perkara berkaitan,” tegas baginda.

Seramai 458 peserta mengikuti program ini yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar-pelajar IPT dan sekolah.

Wacana kali kedua dianjurkan itu menampilkan lapan panel antaranya, pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr. Shamarahayu Aziz, Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Yang Berhormat Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Ketari, Yang Berhormat Young Shefura Othman.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Wacana Diraja: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dengan kerjasama Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan kerajaan Pahang yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, dekat sini, semalam.

Mengiringi sama, paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Dipertua MUBARAK, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan, Ahli-Ahli Exco Pahang dan Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (1) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (2) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (3) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (4) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (5) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (6) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (7) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (8) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (9) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (10) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (11) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (12) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (13) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (14) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (15) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (16) Wacana Diraja Dedah Peranan Institusi Beraja (17)