PEKAN 24 Oktober 2018 Bersamaan 15 Safar 1440 Hijrah – Seramai 76 orang menerima pengurniaan darjah kebesaran pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Mendahuli senarai penerima ialah Yang Amat Mulia Raja Puan Mahkota Perak, Raja Dato’ Seri Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris yang menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang, Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.

Antara 18 penerima lain yang turut dianugerah SSAP, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Simi Abdul Ghani, Pengerusi Pakatan Negeri Pahang, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Haji Hussin dan Penghibur Trinity Production, Dato’ Hajjah Sri Rosa Roslaina Handiyani.

Istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran yang bermula pukul 10.30 pagi itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Sultan Ahmad Shah Al- Musta’in Billah.

Mengiringi sama isteri baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Mainunah Iskandariah Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan paduka-paduka anakanda putera dan puteri.

Hadir sama, paduka-paduka kekanda dan adinda, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajjah Dato’ Aishah.

Presiden Persatuan Bolasepak Myammar, Zaw Zaw turut dianugerah darjah SSAP (Kehormat) yang juga membawa gelaran Dato’ Sri.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Dato’ Wan Bakri Wan Ismail, penerima tunggal Darjah Kebesaran Mahkota Pahang, Yang Amat Mulia Peringkat Pertama, Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera.

Lima orang dianugerah Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah, Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’.

Antara penerimanya, Timbalan Pengerusi Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) Udara, Datin Sri Norainy Shahar Alam, Mantan Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Fuad Zakashi dan Pengarah Imigresen Johor, Dato’ Rohaizi Bahari.

Manakala seramai 50 orang dianugerah Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran dato’.

Turut hadir memuliakan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, Ketua-Ketua Jabatan dan Mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob bersama isteri dan suami masing-masing.