KUANTAN, 10 November 2018 Bersamaan 2 Rabiulawal 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa sukacita dengan perkembangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang kini merupakan antara universiti teknikal terbaik negara dan berjaya melahirkan 22,427 graduan sejak tahun 2006.

Selaku Canselor UMP selama 12 tahun, Tengku Abdullah berharap UMP dapat merangka pelan tindakan komprehensif dalam memastikan alumni khususnya yang menjawat kanan untuk kembali menyumbang kepada universiti.

Titah baginda, antara usaha yang boleh dilakukan adalah memberikan perhatian khusus kepada inisiatif ‘Industry Network Alumni Platform’ yang berperanan sebagai medium interaksi strategik universiti dengan alumni.

“Perkara ini merupakan peluang keemasan yang signifikan terhadap jaringan strategik dan profesional universiti yang penting dalam konteks penjenamaan universiti, kemajuan mahasiswa, pengembangan penyelidikan dan pengimarahan ekosistem wakaf universiti,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di Kampus Gambang di sini hari ini, melibatkan 2,773 graduan.

Turut hadir Naib Canselor UMP Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Ahli- Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata, golongan mahasiswa perlu dididik dengan kerangka sosial yang dipersetujui semua kaum dalam pembentukan negara.

Baginda bertitah perkara itu penting memandangkan golongan tersebut merupakan pewaris tamadun negara dan kerangka sosial adalah asas yang membentuk perpaduan Malaysia.

“Ia termasuklah kedudukan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu yang ditabalkan dengan penuh kemuliaan. Kita seharusnya menghormati apa yang digariskan dalam Perlembagaan.

“Kerangka sosial ini yang membentuk perpaduan dan persefahaman rakyat sehingga akhirnya membawa kepada pembinaan sebuah negara dan tamadun yang unggul,” titah baginda.

Tengku Abdullah juga bertitah menasihatkan graduan yang menerima ijazah hari ini, untuk bersaing dalam dunia pekerjaan tanpa mengamalkan hasad dengki atau budaya fitnah untuk mencapai kejayaan.

“Kejayaan perlu diburu dengan jujur dan ikhlas dengan semangat percaya kepada diri dan mereka yang berkebolehan, berkualiti serta berkemahiran pastinya akan memperoleh kejayaan.

Terdahulu, baginda menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Kejuteraan (Elektronik) kepada Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran.