PEKAN. 13 November 2018 bersamaan Rabiulawal 1440H – Ketelitian serta keunikan dalam menghasilkan kain tenun Pahang mencetuskan idea dan usaha untuk mengangkat martabatnya sebagai satu fabrik eksklusif. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, hasrat tersebut timbul kerana keistimewaan pada kain Tenun Pahang tidak mudah diperoleh atau diciplak sesiapa.
“Kita lihat batik dah bermacam-macam jenis, semua orang boleh hasilkan..tapi berbeza kalau nak hasilkan produk tenun. Kita nak jadikan Tenun Pahang berciri eksklusif, seperti jenama-jenama barangan terkenal luar negara. Orang perlu beratur atau tempah untuk dapatkannya.
“Saya mahu tenun Pahang ada kelas tersendiri…mungkin sukar untuk orang ramai peroleh kerana harganya yang agak mahal setanding ‘betapa cerewet’ dan telitinya penenun menghasilkannya. Siapa yang pernah memakainya pasti akan faham, kain ini amat istimewa,” titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Tradisi Berfesyen Tenun Diraja Pahang di Muzium Sultan Abu Bakar di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengarah Muzium Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abdul Jalal. Dalam pada itu, baginda turut menyentuh berkenaan minat golongan muda untuk menjadi pewaris seni tenun yang telah bertapak sejak lebih 300 tahun dahulu.
“Sudah pasti tenun Pahang turut mengalami cabaran pada masa akan datang di mana kita memerlukan usaha untuk mengekalkan dan mewarisinya kepada generasi muda.
“Saya yakin bahawa semua pihak termasuk institusi Diraja melalui saya sendiri memainkan peranan penting dalam memastikan ia mampu terus ‘bernyawa’ dan terus mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
“Warisan tenun sebenarnya mampu berkembang dengan lebih meluas dan menjadi satu cabang pekerjaan jika usaha mengekalkannya diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya melalui bantuan dan perhatian yang diberikan oleh pihak berkenaan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tunku Azizah bertitah bahawa rasa cinta terhadap tenun Pahang lahir dari hati dan ia memerlukan sokongan dan tanggungjawab untuk mengangkat seni ini ke platform yang lebih tinggi.
“Saya masih ingat pada awalnya, saya mendapati hanya ada 15 orang penenun sahaja di Pekan, namun selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, kini sudah ada lebih 200 orang penenun di negeri Pahang.
“Pahang juga mempunyai penenun lelaki di pusat tenun Penjara Penor dan Bentong yang terbukti mampu menghasilkan tenunan berkualiti tinggi serta mempunyai rekaan serta corak eksklusif,” titah baginda.
Tunku Azizah bertitah, usaha agresif terus dilaksanakan dengan bantuan penenun di negeri Pahang serta sokongan padu diterima daripada suami tercinta, Tengku Abdullah serta pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang membantu mengembangkan industri itu. Baginda turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi kerjasama termasuk kerajaan terdahulu yang memberi sokongan kepada pembangunan dan perkembangan Tenun Pahang Diraja.