PEKAN, 13 November 2018 Bersamaan 5 Rabiulawal 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar penggunaan tulisan Jawi diperluas ke seluruh negeri Pahang. Baginda bertitah, penggunaan tulisan jawi perlu diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh negeri ini bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir pada ketika ini.
“Hasrat saya mahu tulisan jawi diperkasa, dibudayakan dan tidak mahu ia hilang begitu sahaja. Tidak salah kalau ia dipamerkan di bangunan, jalan kerana ia menunjukkan identiti kita dan seharusnya kita rasa bangga.
“Tulisan jawi juga perlu terus diajar di sekolah-sekolah sehingga ke peringkat universiti termasuk pertandingan menukis tulisan jawi misalnya akan meningkatkan rasa sayang dan cinta pelajar terhadap tulisan itu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Program Memartabatkan Penggunaan Tulisan Jawi Negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Tengku Abdullah dalam pada itu berkata, penggunaan bahasa jawi pada papan tanda juga tidak seharusnya menimbulkan polemik atau isu kerana ia hanya perlambangan identiti orang Islam dan budaya Melayu.
“Kita buat (pamer tulisan Jawi) tanpa menindas identiti bangsa-bangsa lain..seharusnya kita bergerak seiring.
“Tiada tempoh masa ditetapkan untuk perlaksanaannya asalkan usaha memartabatkan tulisan jawi di seluruh negeri Pahang terlaksana dengan sempurna,” titah baginda.
Sementara itu, Tengku Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Daerah Pekan yang telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pemegang lesen premis perniagaan untuk menambah tulisan jawi di papan iklan sedia ada.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan JKR Daerah Pekan kerana telah menggantikan papan tanda jalan utama dengan menambah tulisan jawi ke atasnya,” titah baginda.
Pekan menjadi daerah perintis program memartabatkan tulisan jawi di mana ia dipilih berdasarkan perlaksanaan tulisan jawi oleh Majlis Daerah Pekan di papan tanda perumahan dan jalan di kawasan perumahan sejak tahun 2005. Penggunaannya kini diperluaskan pada papan tunjuk arah, papan iklan premis perniagaan, papan tanda bangunan dan papan tanda jalan di seluruh bandar Pekan.