KUANTAN, 20 November 2018 Bersamaan 12 Rabiulawal 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyeru rakyat di negara ini mengelak pertelingkahan dan sentiasa hormat menghormati serta menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Baginda bertitah, Malaysia dibina atas persetujuan, persefahaman dan dasar kompromi sosial politik yang unik malah keunikan itu sendiri telah diperkenan oleh raja-raja Melayu bagi membentuk sebuah negara yang merdeka.

“Ia telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Namun malang sekali apabila hari ini ada segelintir rakyat yang mahu mengubah landskap sosial politik yang unik ini melalui penerimaan dasar kesaksamaan fahaman Barat.

“Dasar ini telah dirangka oleh orang asing yang tidak mengambil kira keunikan, kepelbagaian, kesucian agama Islam dan sensitiviti rakyat serta kedaulatan raja-raja Melayu,”titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminan Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda baginda, Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan Negeri Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Sahibul Samah Mufti Pahang Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menasihatkan agar setiap kepimpinan mengambil iktibar dari sirah Rasulullah yang sentiasa mempamerkan kepimpinan dengan misi dan wawasan dalam setiap tindakan dan pembaharuan yang dilakukan baginda.

“Saya khuatir sebarang pembaharuan dan perubahan kepada dasar sosial politik negara tanpa melakukan kajian yang mendalam hanya akan mengundang mudarat yang tidak berkesudahan.

“Pemimpin pada masa kini peru mencontohi sifat dan kepimpinan yang ada pada Rasulullah yang tidak tidak pernah putus asa menyantuni umat pada waktu itu tanpa mengira agama walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian getir.

“Rasulullah seorang nabi yang sentiasa menyantuni umat, sentiasa tersenyum… baginda memiliki wajah lembut sehingga sesiapa melihat merasa tenang, maka tidak hairanlah mengaoa kaum kafir Quraish mengelak untuk melihat wajah baginda.

“Lantaran perwatakan ini jugalah, baginda berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar semasa behijrah ke Madinah yang akhirnya telah menbawa rahmat sosio-ekonomi dan memakmuran kepada kota itu.

“Visi penyatuan umah ini wajar dijadikan iktibar kerana ia merupakan ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun, justeru, amatlah bertepatan kepada pemimpin masa kini mencontohi corak kempimpinan Rasulullah yang tidak memecah belahkan masyarakat,”titah baginda.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini bermula seawal 7.30 pagi dengan perarakan sejauh 2 kilometer sambil berselawat yang disertai pasukan-pasukan yang mewakili agensi kerajaan, swasta dan pasukan Institusi Pengajian Tinggi.

Antara pengisian lain, majlis dimulakan dengan bacaan ayat- ayat suci al quran oleh qari jemputan, Johan Majlis Tilawah Quran Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam 2016, Zul-Hasyimi Mohamed Yunus, Ucapan Aluan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Yang Berhomat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh pencwramah jemputan, Ketua Jabatan Pembangunan dan Kesedaran Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Nawawi.

Pada majlis tersebut juga, Tengku Abdullah turut mengampuni limpah perkenan menyempurnakan anugerah kepada lima orang yang dipilih memenangi sebagai tokoh Maulidur Rasul dan hadiah-hadiah kepada pasukan terbaik yang menyertai perarakan tahun ini.

Penerima anugerah tersebut ialah Presiden Senat, Parlimen Malaysia, Dato’ Sri Tan Sri Adam @Mohamed Kadir, Pengurus Besar Sukan Silat Negara Peringkat Antarabangsa, Dato’ Osman Nok, Bekas guru KAFA dan Imam masjid Felda Lepar Hilir, Haji Ismail Haji Mehat, Pesara Guru Agama, Haji Abu Samah Abd. Rani dan Pendakwah, Faizul Raman Samah dari Cameron Highlands.