PEKAN. 26 Disember 2018 bersamaan 18 Rabiulawal 1440H -Kesedihan 131 orang penduduk daripada 25 buah keluarga selepas rumah mereka rosak dipukul ribut terubat dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam bertanya khabar, menzahirkan rasa simpati dan menyempurnakan kurniaan sumbangan peribadi dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada semua mangsa.

Baginda turut berkenan melihat dari dekat rumah-rumah yang rosak akibat kejadian tersebut.

Dalam kejadian ribut dan angin kencang pada jam 3 petang semalam, sebanyak 25 rumah melibatkan penduduk di sekitar Kampung Pasir Panjang, Ketapang Hilir, Tanjung Agas dan Pulau Tambun rosak teruk.

Baginda dalam titahnya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah dan redha dengan ujian Allah SWT yang dihadapi selain berharap agar semua agensi terus memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa terlibat.

Sementara itu ketika ditemui media, baginda turut mengingatkan rakyat di negeri ini terutamanya yang tinggal berhampiran kawasan perairan diingatkan supaya lebih mengawasi anak masing-masing bagi mengelak sebarang tragedi di musim tengkujuh.

“Ibu bapa harus mengawasi anak-anak daripada bermain di tepi sungai, kolam dan longkang besar. Kita perlu mengawasi anak-anak dan mereka yang lebih tua daripada kita (golongan warga emas).

“Saya berharap rakyat dapat menjaga diri dan keluarga masing-masing terutamanya pada musim tengkujuh dan air pasang besar. Banyak risiko wujud dari keadaan semasa ini memerlukan perhatian yang lebih serta sifat berjaga-jaga agar kita semua sentiasa berada dalam keadaan selamat,” titah baginda.