KUANTAN, 4 Disember 2018 bersamaan 26 Rabiulawal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan media agar sentiasa telus dalam menyebarkan sebarang berita dan maklumat. Baginda bertitah, ia adalah kerana segala berita yang diterima oleh pembaca akan memberi kesan amat besar kepada kestabilan dan keselamatan negara.

“Tanggungjawab untuk melapor dan mendedahkan kebenaran serta menolak setiap maklumat yang tidak benar perlu dilaksanakan oleh pengamal media arus perdana.

“Ini kerana sesuatu maklumat yang tidak benar boleh menjadi tular dengan pantas dan turut ditokok tambah tanpa mengambil kira kesannya.

Saya berharap pengamal media yang beretika mempunyai peranan yang penting untuk mendidik dan menyekat penyalahgunaan media sosial demi memastikan negara kita kekal aman, makmur dan stabil,” titah baginda pada Majlis Anugerah Media Pahang DRB-Hicom 2018 di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, negeri Pahang.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi Hijau Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Fakharuddin Mohd Arif, Pengarah Urusan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faizal Alba dan Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Hussin. Dalam pada itu, baginda bertitah bahawa pengamal media juga memikul peranan di dalam membina semangat patriotisme dan nasionalisme negara.

“Saya mahu pengamal media khususnya di negeri ini terus menyemai serta membina perpaduan kaum dan agama.

“Jangan takut melaporkan sebarang kepincangan dalam negara kita tanpa takut dan berat sebelah. Bersifat objektif dan tidak berpihak kepada mana-mana fahaman politik ataupun kumpulan tertentu,” katanya.

Pada majlis anugerah itu, 10 kategori dipertandingan, antaranya berita akhbar terbaik, berita televisyen terbaik dan jurufoto terbaik. Pemangku Raja Pahang turut mengampuni limpah perkenan menyampaikan pengurniaan hadiah dan bergambar bersama pemenang-pemenang.Anugerah Media Pahang 2018 (1) Anugerah Media Pahang 2018 (2) Anugerah Media Pahang 2018 (3) Anugerah Media Pahang 2018 (4) Anugerah Media Pahang 2018 (5) Anugerah Media Pahang 2018 (6) Anugerah Media Pahang 2018 (7) Anugerah Media Pahang 2018 (8) Anugerah Media Pahang 2018 (9) Anugerah Media Pahang 2018 (10) Anugerah Media Pahang 2018 (11)