KUANTAN 14 Disember 2018 Bersamaan 6 Rabiul Akhir 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Mainunah Iskandariah hari ini, memulakan program jelajah memasak untuk menyediakan makan tengah hari dan malam di tiga Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di daerah ini.

Tiga PPS tersebut ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, SK Cherating dan SK Sungai Karang yang menempatkan sejumlah 198 orang mangsa.

Kesemua mangsa terbabit dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa hasil sentuhan ‘Air Tangan Cheminah Sayang’ untuk makan tengah hari dan makan malam.

Disebelah pagi, baginda menyediakan masakan makan tengah hari kepada mangsa banjir di PPS SK Beserah yang menempatkan sejumlah 56 mangsa dari 18 kerluarga.

Selepas solat Jumaat, baginda bercemar duli berangkat ke PPS SK Cherating untuk memasak makan malam.

PPS tersebut memempatkan penduduk Kampung Baharu Cherating seramai 92 orang magsa daripada 23 keluarga.

Manakala selepas solat Asar, baginda bercemar duli berangkat memasak untuk makan malam kepada 52 mangsa daripada 20 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sungai Karang.

Turut mengiringi membantu baginda sepanjang jelajah memasak itu, paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Tunku Azizah turut mendapat khidmat pasukan sukarela daripada Kolej Yayasan Pahang yang membabitkan tenaga pengajar dan pelajar Kulinari dalam menyediakan masakan sepanjang jelajah memasak untuk mangsa banjir.

Hadir sama memuliakan keberangkat Tengku Puan Pahang di PPS SK Beserah, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff.

Tunku Azizah yang senonim dengan Cheminah Sayang, turut dikenali rakyat di negeri ini sebagai ‘Permata Hati Rakyat’ yang sentiasa turun padang ketika rakyat ditimpa musibah.

Baginda turut meninjau kelengkapan yang disediakan kepada mangsa di PPS dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa.

Tunku Azizah dan puteri baginda, Tengku Puteri Afzan turut menyempurnakan kurnian peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang kepada setiap keluarga termasuk anak-anak mangsa.

DAULAT TUANKU – DIRGAHAYU TUANKU