KUANTAN 16 Disember 2018 Bersamaan 8 Rabiul Akhir 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Mainunah Iskandariah hari ini, meneruskan program jelajah memasak di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, semalam.

PPS tersebut menempatkan penduduk dari Kampung Kempadang seramai 72 orang mangsa daripada 18 keluarga yang berpindah sejak tiga hari lalu.

Baginda mengambil masa kira-kira tiga jam bagi menyediakan masakan sehinggalah menyenduk laut pauk kepada mangsa-mangsa banjir dan petugas sukarelawan makan tengah hari di PPS tersebut.

Tunku Azizah bersama paduka anakanda turut berkenan santap bersama-sama mangsa-mangsa banjir dan sukarelawan sebelum berangkat pulang.

Kesemua dihidangkan beberapa menu istimewa hasil sentuhan ‘Air Tangan Cheminah Sayang’ sebelum mereka dibenarkan pulang kerumah masing-masing selepas keadaan banjir semakin pulih.

PPS Kampung Kempadang merupakan PPS terakhir ditutup petang semalam, manakala enam lagi ditutup disebelah pagi.

Turut mengiringi membantu baginda memasak semalam, paduka anakanda puteri, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Tunku Azizah turut mendapat khidmat pasukan sukarela daripada Kolej Yayasan Pahang KYP Advanced Skills yang membabitkan pensyarah dan pelajar dari fakulti culinary seramai 20 org.

Tunku Azizah dan puteri baginda, Tengku Puteri Afzan dan Tengku Jihan turut menyempurnakan kurnian peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang kepada setiap keluarga termasuk anak-anak mangsa.

Terdahulu, baginda turut meninjau kelengkapan yang disediakan kepada mangsa di PPS tersebut dan beramah mesra dengan mangsa banjir.

Hadir sama memuliakan keberangkat Tengku Puan Pahang di PPS SK Beserah, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, Yang Berhormat Abdul Rahim Muda, Ketua Umno Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Hamid Nazahar, Penghulu Mukim dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.

Kelmarin, Tengku Puan Pahang turut bercemar duli memasak di PPS SK Beserah, SK Cherating dan SK Sungai Karang untuk makan tengah hari dan makan malam kepada mangsa banjir dan sukarelawan.

Tunku Azizah yang senonim dengan nama Cheminah Sayang, turut dikenali rakyat di negeri ini sebagai ‘Permata Hati Rakyat’.

Baginda bukan sahaja bercemar duli dalam program atau majlis rasmi malah baginda sering turun padang tanpa protokol menemui rakyat ketika ditimpa musibah.

Banjir melanda daerah ini ekoran hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu, sebanyak tujuh (7) kampung dinaiki air dan dinasihatkan oleh pihak berkuasa supaya berpindah.

Kampung terlibat, Kampung Baharu Cherating ditempatkan di PPS SK Cherating, Kampung Sungai Ular (PPS SK Sungai Ular), Kampung Kempadang (PPS SK Kempadang), Kampung Sungai Karang Darat (PPS SK Sungai Karang),Kampung Balok (PPS Dewan Orang Ramai Balok), Kampung Bugis Beserah ( PPS SK Beserah) dan Kampung Sungai Isap (PPS SK Sungai Isap Murni).

Manakala jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ialah 405 orang dan jumlah keluarga 120.