KUANTAN 23 Disember 2018 Bersamaan 15 Rabiulakhir 1440 Hijrah – Permainan tradisional yang menjadi identiti serta sinonim dengan budaya negara ini perlu dipopularkan kembali bagi memastikan warisan lama tidak pupus ditelan arus zaman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, penganjuran kejohanan membabitkan permainan tradisional perlu diteruskan dan menjadi acara tahunan di pelbagai peringkat masyarakat.

“Permainan tradisional ini telah wujud sejak sekian lama dan ia telah memupuk semangat integrasi nasional rakyat di negara ini.

“Saya bangga kerana cetusan hasrat untuk melihat permainan rakyat diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi direalisasikan melalui kejohanan yang dianjurkan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada majlis perasmian penutupan Kejohanan Dam aji Terbuka Piala KDYMM Tengku Mahkota Pahang anjuran Persatuan Catur Negeri Pahang di Hotel Vistana hari ini.

Mengiringi sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Muhamad Safian Ismail.

Seramai 222 orang peserta menyertai kejohanan dam aji kali pertama di negeri ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar sebarang usaha atau inisiatif untuk memperkenalkan kembali permainan-permainan tradisional melayu lama diberi bantuan dan dorongan.

“Kita tidak mahu permainan-permainan tradisi yang menyeronokkan ini terus dilupakan kerana generasi muda kini lebih dekat dengan dunia digital.

“Saya juga mahu melihat negeri Pahang menjadi sebuah negeri contoh yang memelihara permainan tradisi melalui usaha serta kerjasama daripada pihak kerajaan negeri serta mana-mana pihak yang berminat,” titahnya.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Yang Berhormat, Encik Abd┬áRahim bin Muda, Mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Haji Ismail Haji Muttalib dan Pegawai Daerah Kuantan yang baharu, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.