KUALA LUMPUR. 11 Januari 2019 bersamaan 4 Jamadil Awal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenan menerima menghadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, hari ini.

Salehuddin menggantikan Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan telah memulakan tugas pada Isnin lalu.

Turut mengiringi, paduka kekanda dan adinda baginda bersama ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

Hadir sama pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini adalah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan exco kerajaan negeri serta bekas perdana menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis tersebut, Salehuddin menghadap menerima pengurniaan surat cara pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebelum mengangkat sumpah menyimpan rahsia.

Beliau kemudian menurunkan tandatangan surat cara perlantikan tersebut dihadapan Tengku Abdullah dan disaksikan Yang Amat Mulia Raja Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj dan Wan Rosdy.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kemudiannya bercemar duli berangkat ke kamar khas bagi mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, yang berlangsung sejak jam 4 petang, di hotel sama.

Pada mesyuarat tersebut, Tengku Abdullah turut memberi ruang anggota Jumaah Pangkuan Diraja Negeri mengadakan siri perbincangan dan pengundian pengerusi mesyuarat hari ini.

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj kemudiannya mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Sebaik selesai mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam, laungan ‘Daulat Tuanku’ jelas kedengaran dari kamar khas berkenaan.

Sebelum Tengku Abdullah berangkat meninggalkan majlis, baginda mengampuni limpah perkenan bergambar bersama ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

Turut bercemar duli pada sesi bergambar itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hasil mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri akan diumumkan pada sidang media khas di Istana Abu Bakar, Pekan pada jam 3 petang, esok.