PEKAN 12 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadil Awal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Sultan Haji Ahmad Shah hari ini diumumkan sebagai Sultan Pahang baharu berkuatkuasa serta merta menggantikan paduka ayahanda baginda yang kini gering.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman memaklumkan istiadat pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan akan dilangsungkan pada Selasa ini (15 Januari) di Istana Abu Bakar.

Pada sidang media yang diadakan hari ini, Tengku Abdul Rahman menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat bersama Jumaah Pangkuan Diraja yang diadakan semalam.

Keputusan itu termaktub dalam Pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi masukkan peruntukan baru iaitu Perkara 9A ke dalam Bahagian 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi membolehkan seseorang Sultan diturunkan takhta atas sebab kegeringan yang besar dan berat.

“Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya serta keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah

“Menyedari keadaan ini, saya serta seluruh keluarga terdekat telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri paduka adinda baginda, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, kerabat dan barisan pentadbiran negeri.

Tengku Abdul Rahman menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan kekandanya sebagai peneraju negeri Pahang.

“Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang sultan yang secekap, secergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya… ayahanda saya telah mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang,” katanya.

Tengku Abdul Rahman memaklumkan Sultan Abdullah bertitah supaya ayahanda baginda berdua, Sultan Ahmad Shah diisytiharkan sebagai gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Ini kerana katanya, bersesuaian dengan rasa cinta ayahandanya kepada rakyat Pahang secara keseluruhannya.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menyampaikan rasa syukur di atas pelantikan baginda sebagai Sultan Pahang baru.

Baginda menyifatkan ia sebagai satu amanah Allah SWT untuk baginda menjaga negeri Pahang dan membela semua rakyat sebaik-baiknya.