KUANTAN 13 Januari 2019 Bersamaan 7 Jamadil Awal 1440H – Memetik surah Yasin ayat ke-82, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa segala yang terjadi adalah ketentuan Allah SWT termasuk jika ditakdirkan menjadi Yang Dipertuan Agong.

Surah Yasin ayat 82 dimaksudkan baginda berbunyi, ‘Innama amruhu idza arada syaian an yaqula lahu kun fayakun’ yang bermaksud ‘Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, Jadilah! Maka jadilah ia.’

“Kalau sudah pun tercatit saya ke situ, ke situlah saya (sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16),” titah baginda ketika mengulas kemungkinan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berikutan pemasyhuran sebagai Sultan Pahang ke-6 menggantikan ayahandanya, Sultan Haji Ahmad Shah berkuat kuasa semalam.

Baginda bertitah fokus utamanya adalah istiadat pemasyhuran dan angkat sumpah dan lafaz ikrar sebagai Sultan Pahang di Istana Abu Bakar Pekan pada Selasa ini terlebih dahulu.

“Dari situ baru saya fikir apakah harus saya buat selepas itu, pada waktu ini saya tidak dapat nyatakan lagi mengenai perkara itu (sebagai Yang di-Pertuan Agong ,” titah baginda ketika ditemui selepas solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie Kota SAS di sini, pagi ini.

Sementara itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa insan dan bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada paduka ayahanda, adik beradik serta rakyat untuk memikul amanah sebagai Sultan Pahang yang baharu.

“Ini tanggungjawab besar dan saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat Pahang.

“Saya hendak janji lebih sangat pun ini bukan masanya untuk dinyatakan, tetapi saya akan berikan segala usaha dalam apa juga bidang sekali pun,” titahnya.