PEKAN 14 Jan 2019 Bersamaan 8 Jamadil Awal 1440H – Persiapan Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Ke-VI yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, pada pukul 11 pagi esok berjalan lancar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Pahang turut berkenan bercemar duli berangkat ke Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada petang tadi bagi meninjau raptai yang diadakan untuk istiadat pemasyhuran itu.

Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat persiapan istiadat berkenaan.

Laungan tiga kali Allahu Akhbar dan Daulat Tuanku turut akan mengiringi istiadat pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, esok.

Turut berangkat, paduka-paduka adinda, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, paduka-paduka anakanda putera dan puteri serta kerabat diraja baginda.

Tengku Abdul Rahman selaku pengerusi istiadat pemasyhuran hadir sama bagi menyaksikan majlis raptai istiadat tersebut bermula pada jam 3 petang tadi berpuas hati dengan persiapan majlis bersejarah itu.

“Semua sudah siap sedia… insya-Allah semua selamat semoga (majlis) esok dirahmati dan diberkati Allah SWT.

“Seingat saya istiadat pemasyhuran ini berlangsung dahulu lebih 40 tahun, memang sudah jadi adat. Selalunya ia diadakan selepas kemangkatan (Sultan Pahang terdahulu), jadi kita kena readjust (atur kembali)…tetapi Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Seramai 1,500 tetamu dijangka hadir dengan 800 daripadanya akan berada di Balairung Istana Abu Bakar bagi menyaksikan majlis bersejarah itu.

Tengku Abdul Rahman berkata, tetamu jemputan di kalangan kerabat diraja Pahang, orang kenamaan, ketua jabatan dan rakyat Pahang akan menyaksikan majlis pemasyhuran penuh istiadat itu.

Tengku Abdul Rahman turut mengesahkan bahawa ayahandanya, Sultan Ahmad Shah tidak dapat berangkat pada istiadat pemasyhuran esok atas faktor tertentu.