PEKAN 15 Jan 2019 Bersamaan 9 Jamadil Awal 1440H – Sultan Pahang Ke-VI, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikrar akan terus mengutamakan kepentingan rakyat sepanjang pemerintahan baginda.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Ke-VI dalam istiadat berkenan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada pukul 11 pagi tadi turut menjadikan ayahanda baginda sebagai contoh pemimpin terbaik.

“Ayahanda beta, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar begitu dekat di hati rakyat dan sentiasa menjaga kepentingan mereka terutama apabila dilanda musibah.

“Baginda merupakan seorang raja pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat jelata.

“Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda tiada bandingannya. Ianya akan terpahat segar dalam lipatan sejarah. Kepimpinannya yang berpaksikan kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, ‘Raja dan rakyat sehati sejiwa’ akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya.

”Saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak.’ Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah, dan menumpang kasih apabila berduka,” titah baginda pada titah baginda pada istiadat berkenaan.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut menyeru agar semua kepimpinan negeri di setiap peringkat supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab serta menjunjung sifat ketakwaan.

“Saya mahu mengingatkan bahawa hanya pemimpin yang bertakwa sahaja yang akan menginsafi bahawa setiap perbuatan dan keputusan mereka bakal dihitung di akhirat.

Sesungguhnya, kekuatan sebuah negeri adalah kerana raja pemerintah, manakala kekuatan raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.

Kerana itu, pepatah Melayu lama ada berpesan: “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya,” titah baginda.

Sementara itu Al-Sultan Abdullah turut mengenang jasa yang disumbang Almarhum bonda baginda Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

“Baginda sentiasa cekal hati mendidik saya dengan penuh kasih sayang, tiada kedengaran sepatah keluhan, dan tiada kelihatan setitip kemarahan. Bonda adalah ratu dan permata hati yang hilangnya sukar dicari ganti,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda meminta semua rakyat Pahang memanjatkan doa kepada roh Almarhumah bonda baginda serta mendoakan agar ayahanda baginda sentiasa dikurniakan kesihatan terbaik.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, paduka-paduka adinda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang
Hajjah Tengku Dato’ Muhaini, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang
Tengku Hajjah Dato’ Aishah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang
Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah,
Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Muadzam Shah, dan putera puteri baginda.

Pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah menerima watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja daripada adinda baginda, Tengku Muda Pahang yang turut membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang (Bahagian Pertama).

Terdahulu, sebaik baginda Al-Sultan melafazkan titah, Balairung Seri bergema dengan laungan tiga kali kalimah “Allahu Akhbar” dan tiga kali “Daulat Tuanku” yang diketuai Tengku Abdul Rahman.

Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan exco kerajaan negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Turut sama hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Azmin Ali, mantan Perdana Menteri, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dan mantan Menteri pertahanan, Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussien.

Tetamu lain yang turut kelihatan ialah penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin dan suami.