PEKAN 15 Jan 2019 Bersamaan 9 Jamadil Awal 1440H – Sultan Pahang Ke-VI, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke majlis kesyukuran dan doa selamat bersempena istiadat pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang Ke-VI di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Haj pada jam 7 petang tadi.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah disambut Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan YB Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Salehuddin Ishak para ahli mesyuarat kerajaan, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakyat jelata yang mahu melihat dari dekat serta bersalaman dengan baginda.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka-paduka anakanda baginda Al-Sultan Abdullah. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, solat hajat memohon kesejahteraan Al-Sultan Abdullah, bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman sebelum jamuan makan.

Selepas menikmati santapan dan makan malam bersama kira-kira 3,000 jemaah, baginda diiringi jemaah berangkat masuk semula ke dewan solat bagi menunaikan solat fardu Isyak. Antara yang hadir memenuhi setiap inci dewan solat ialah pelajar-pelajar Maahad Tahfiz dan pelajar-pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini.Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (1) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (2) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (3) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (4) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (5) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (6) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (7) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (8) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (9) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (10) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (11) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (12) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (13) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (14) Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat (15)