PEKAN. 22 Januari 2019 Bersamaan 15 Jamadil Awal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, dilantik menjadi Tengku Ampuan Pahang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah perkara itu diputuskan baginda dalam mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-111 yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini hari ini.

Mesyuarat juga dimaklumkan tentang hasrat baginda melantik Yang Amat Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang yang baharu.

“Istiadat pemasyhuran akan diadakan pada 29 Januari ini di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, “titah baginda ketika berkenan menemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

Turut hadir paduka-paduka kekanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajjah Dato’ Aishah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu’adzam.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Berhomat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, Yang Berhormat Penasihat Undang-undang negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Haji Ibrahim,

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Yang Hormat Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman dan Yang Berhormat Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun.

Titah baginda, untuk gelaran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota itu seelok-eloknya digunakan selepas istiadat pemasyhuran itu diadakan nanti.

“Tengku Hassanal akan pulang (pada 28 Jan), dia akan dimasyhurkan dan kembali semula ke UK untuk tamatkan pengajian hingga hujung tahun ini,” titah baginda.

Manakala jawatan Tengku Panglima Besar yang disandang oleh Tengku Hassanal sebelum ini, Al Sultan Abdullah bertitah jawatan itu akan dikosongkan sementara dan baginda akan mengenal pasti calon yang sesuai nanti.

Menjawab soalan pemberita tentang harapan baginda terhadap Tengku Hassanal yang akan dimasyhur menjadi Tengku Mahkota Pahang nanti, baginda bertitah,

“Semua anggota keluarga dan rakyat Pahang khususnya dia (Tengku Hassanal) dapat mempamerkan satu watak yang baik dan boleh menjadi seorang pemimpin kepada rakyat negeri Pahang “

“Sama-samalah kita beri tunjuk ajar kepada orang muda ini,” titah baginda.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat, Al-Sultan Abdullah mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang turut disertai Orang Besar Raja dan Orang Besar Enam Belas.