KUANTAN 25 Januari 2019 Bersamaan 19 Jamadil Awal – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Bekas Bendahari Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dr Kassim Yusof, yang kembali kerahmatullah, di sini awal pagi tadi.

“Saya berasa sedih dengan pemergian allahyarham yang saya serta paduka ayahanda dan bonda sangat mengenalinya dari tahun 70an..Dia amat giat dengan persatuan bola dan persatuan bulan sabit merah di samping mempunyai klinik kesihatan yang memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang kurang mampu.

“Doa semoga allahyarham di cucuri rahmat…semoga seluruh amal ibadah dan sedekah kariah arwah di dunia diterima oleh Allah SWT.

“Saya mengucapkan takziah kepada Datin Laila dan seluruh keluarga Allahyarham semoga mereka diberikan ketabahan, kesabaran dan rehda dengan pemergian Allahyarham,”titah baginda ketika dihubungi pengarang portal diraja Pahang, pagi ini.

Bekas bendahari Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Dato’ Dr Kassim Haji Yusof, 89 meninggal dunia di rumahnya di Kampung Ghazali jam kira-kira pukul 4 pagi tadi. Perkara berkenaan disahkan oleh isterinya, Datin Laila Shahin,78 ketika ditemui media sebentar tadi.

“Pada jam 4 pagi tadi, dia telah bangun untuk menyiapkan dirinya untuk solat subuh dan dia telah meminta makanan kerana lapar.

“Sedang jururawat saya menyuapkan suami saya, secara tiba-tiba dia muntah darah dan pengsan..apabila doktor datang, dia mengesahkan bahawa suami saya telah meninggal dunia,”katanya

Beliau meninggalkan lapan orang anak iaitu empat perempuan dan empat lelaki hasil perkongsian hidup dengan Datin Laila. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al Hidayah, Permatang Badak selepas solat jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan SC, Kampung Ghazali Kuantan. Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Haji Osman antara kenamaan yang kelihatan menziarah di kediaman Allahyarham.Al-Sultan Abdullah Zahirkan Ucapan Takziah (1) Al-Sultan Abdullah Zahirkan Ucapan Takziah (2) Al-Sultan Abdullah Zahirkan Ucapan Takziah (3)