TEMERLOH. 25 Januari 2019 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan sebaik mungkin menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa 31 Januari ini.

Baginda turut syukur ke hadrat Allah atas anugerah dan amanah dengan penuh komited.

Baginda menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu yang memberi kepercayaan kepada baginda untuk mengalas jawatan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun.

“Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk menunaikan dan melunaskan segala tanggungjawab saya dan sudah tentu saya amat memerlukan kerjasama rapi nasihat dan panduan

“Ini perlu dilakukan supaya sama-sama kita dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan mudah-mudahan mendapat rahmat allah dan memajukan negara Malaysia,”titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika mengampuni limpah berkenan menghadiri Majlis Santapan sempena memuliakan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang Ke-VI dan memuliakan perlantikan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Masjid Baharu Temerloh di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke dewan solat bagi menunaikan solat fardu Jumaat, solat hajat dan tahlil.

Solat hajat dan tahlil dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman.

Selesai majlis tahlil, Al-Sultan Abdullah berangkat keluar ke dataran masjid untuk majlis santapan/makan tengah hari bersama rakyat.

Turut berangkat mengiring baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandarian, paduka anakanda baginda, YAM Mej Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan paduka adinda, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Baginda berdua kemudian mengampuni limpah perkenan menyempurnakan kurniaan peribadi dan sumbangan wang zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 200 golongan asnaf pada majlis tersebut.

Sementara itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah ketika menerima menghadap pengamal media, baginda merafak kesyukuran atas pelantikan Al Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi kepercayaan positif oleh Raja-Raja dan sultan di negeri ini.

“Saya berdoa agar Tuanku (Al Sultan Abdullah) akan menjalankan sebaik-baiknya amanah dan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Selama ini tuanku ketika menjadi Pemangku Raja Pahang selama empat tahun, Tuanku telah banyak menjalankan tugas dengan baik.

“Saya rasa dan yakin Tuanku akan cuba untuk menjadi yang lebih baik buat rakyat. Saya akan sentiasa menyokong dan mengikutinya dari belakang,”titah baginda.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Dato’ Sri Haji Mohd.Sharkar Bin Haji Shamsudin, Yang Berhormat Penasihat Undang-undang negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim dan Yang Berhormat Pengawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Haji Mohamad Roslan Harun.