KUANTAN 26 Januari 2019 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah berangkat bercemar duli menunaikan solat Zohor bersama kira-kira 500 orang jemaah di Masjid Al-Falah, Perkampungan Sungai Isap 2 hari ini.

Baginda turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada pihak masjid yang diterima oleh pengerusi masjid, Tuan Haji Mohd Nasuha Bidin.

Turut memuliakan keberangkat baginda, Yang Hormat Dato’ Setia Perkasa

Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Zulkifly bin Tengku Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Lumpur, Yang Berhormat Ustaz Rosli Jabbar, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Mojd Sani Harul dan Ketua Polis Pahang, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Baginda kemudiannya melawat mangsa kebakaran di lokasi berhampiran dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa, Baharuddin Sulaiman, 59, dan keluarga.

Baginda turut sempat menikmati menu gulai lemak nangka, opor daging istimewa, kari ikan tenggiri, sambal hitam Pahang dan sambal tempoyak yang disediakan keluarga tersebut sebelum berangkat menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di Dewan Seri Mentiga.

Baharuddin berkata, beliau dan isteri bagaikan tidak percaya apabila dimaklum oleh pegawai istana, Sultan Pahang akan datang kerumahnya selepas solat zohor, hari ini.

“Dalam masa yg singkat, saya dan isteri sempat juga mencari lauk dan bahan-bahan untuk memasak santapan tengah hari untuk tuanku Sultan.

“Alhamdulillah kami bersyukur sangat apabila tuanku Sultan menerima pelawaan untuk santap tengah hari dirumah baharu kami…tak sangka tuanku berselera santap lauk pauk masakan isteri saya”, katanya.

Beliau sekeluarga berterima kasih diatas keprahatinan tuanku Sultan terhadap musibah yang menimpa mereka sekeluarga selepas rumahnya hangus dalam kebakaran yang berpunca dari rumah jiran pada 16 Januari tahun lalu.

“Saya sekeluarga amat terharu dan bangga dapat raja yang berjiwa rakyat yang dekat dihati rakyat Pahang.

Kami berdoa semoga tuanku diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki serta sentiasa dalam perlindungan Allah”, tambah Baharuddin.

Lebih istimewa, pasangan pengantin Orang Kelainan Upaya (OKU) bisu, Mohd Hafizan Zaini, 27, dan Siti Norbaya Muhammad Hoe, 24, menerima kejutan apabila Al-Sultan Abdullah muncul di majlis perkahwinan mereka di Dewan Seri Mentiga.

Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam melayan permintaan rakyat untuk bergambar dan bersalam.

Wakil keluarga, ibu saudara Siti Norbaya, Aida Syafinaz Sulaiman, 28, menyampaikan penghargaan kepada baginda yang sudi bercemar duli hadir ke majlis tersebut tanpa jemputan menyila raja secara rasmi.

“Kami sekeluarga amat terharu…sudah pasti gembira kerana baginda berjiwa rakyat, tidak berkira atau memilih tempat untuk bertemu serta beramah mesra dengan rakyat.

“Baginda melayan permintaan rakyat untuk bergambar dan bersalam. Kami bangga menjadi rakyat baginda, seorang raja yang amat dekat di hati rakyat dan sentiasa disanjungi….bagi pihak keluarga, saya ucap junjung kasih,” katanya.