KUANTAN. 31 Januari 2019 Bersamaan 25 Jamadil Awal 1440H – Istiadat memuliakan berangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat ke ibu negara pagi ini disaksikan ribuan rakyat Pahang yang berkumpul sepanjang jalan termasuk di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.

Pesawat khas yang membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas pada jam 8.34 pagi untuk penerbangan kira-kira 45 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Pasangan diraja itu berangkat meninggalkan negeri Pahang bagi menggalas jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong susulan pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVI pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), 24 Januari lalu.

Terdahulu, ribuan rakyat jelata dari seluruh pelusuk negeri terdiri daripada pelbagai kaum berdiri di luar Istana Abdulaziz dan Pekarangan Pengkalan Pergerakan Udara, TUDM Kuantan bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Baginda Al Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berpakaian rasmi sedondon dengan warn biru firus berangkat dari Istana Abdulaziz di sini pada pukul 7.10 pagi dengan kawalan polis bermotosikal.

Pergerakan berkenaan disertai rombongan pengiring Persekutuan dan negeri termasuk paduka adinda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Menteri Pengiring, Yang Berhormat Menteri Luar, Dato’ Saifulddin Abdullah dan Isteri, manakala Istana Negara diwakili Dato’ Paduka Maharaja Lela, Mej Jen Dato’ Mamat Ariffin.

Kenderaan yang membawa baginda berdua tiba di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira 7.40 pagi yang disambut meriah dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh rakyat jelata yang berdiri di kiri dan kanan jalan berkenaan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang.

Sebelum baginda Al-Sultan dan Tengku Ampuan Pahang menaiki pesawat, bacaan doa selamat dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman yang memohon keberkatan agar perjalananan baginda berdua dirahmati Allah.

Baginda kemudiannya menaiki kenderaan khas sambil melambai mesra ke arah rakyat jelata yang mengambil kesempatan cuti umum pada hari ini demi hadir merafak sembah hormat kepada baginda berdua yang berlepas menaiki pesawat khas ke ibu negara.

Rakyat dan tetamu kehormat melaungkan Allahu Akbar dan Daulat Tuanku sambil mengibarkan bendera Pahang dan Jalur Gemilang, di samping ada kalangan rakyat pelbagai kaum serta lapisan umur mengambil kesempatan merakam detik keberangkatan Seri Paduka berdua menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Sesekali nampak sebak namun jelas terpancar keceriaan di wajah pasangan diraja yang sinonim dengan ungkapan ‘Permata Hati Rakyat, Raja dan Rakyat Sehati Sejiwa serta Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ tak henti melambai tangan ke arah rakyat, lebih manis kenangan yang ditinggalkan apabila Al-Sultan Abdullah sempat melayangkan ‘isyarat ciuman’ kepada rakyat jelata.