KUANTAN. 31 Januari 2019 Bersamaan 25 Jamadil Awal 1440H – Penurunan bendera peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Shah Sultan Haji Ahmad Shah merupakan simbolik permulaan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini.

Tepat jam 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang telah diturunkan oleh seorang pegawai dan 13 anggota Provos Tentera Udara Diraja Malaysi (TUDM) Kuantan.

Manakala upacara rasmi menaikkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong juga diadakan tepat jam 12 tengah malam tadi, di Istana rasmi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz di sini tepat jam 12 tengah malam tadi.

Bendera tersebut dinaikkan seorang pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan Kem Batu 10 di sini, sambil diiringi lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan pancaragam dari Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, istiadat memuliakan keberangkatan pergi Yang di-Pertuan Agong dan dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz akan bermula jam 6.30 pagi ini.

Istiadat berkenaan akan dimulakan dengan ketibaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Salehudin Ishak.

Dijangka hadir sama, Menteri Pengiring, Dato’ Shaifulddin Abdullah dan Isteri dan Datuk Paduka Maharaja Lela, Mej Jen Dato’ Mamat Ariffin.

Al Sultan Abdullah akan berangkat ke Pangkalan Tentera Udara di sini pada jam 7 pagi dan dijangka disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama ATM yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ dan lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan ATM sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, akan membacakan doa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah kemudian akan menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi bagi menyempurnakan Istiadat Perlantikan dan Pemasyhuran Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XVI.Bendera