KUALA LUMPUR 15 Febuari 2019 Bersamaan 10 Jamadil Akhir 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,200 jemaah di Surau Utama Istana Negara, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 1.10 tengah hari diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mengiringi baginda, paduka anakanda Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan paduka adinda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang dan Tengku Fahd Mu’adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Berhormat Menteri Luar Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman.

Sebelum solat Jumaat, satu majlis pengisytiran Surau Utama Istana Negara untuk solat Jumaat bermula hari ini.

Pengisytiharan itu menerusi penyerahan watikah pengisytiharan oleh Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, disaksikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.

Manakala Khutbah Jumaat disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli yang turut mengimamkan solat.

Al-Sultan Abdullah turut mengampuni limpah perkenaan meraikan tetamu dan jemaah dalan majlis santapan tengah hari yang diadakan di Dewan Santapan Utama.