PEKAN. 21 Februari 2019 Bersamaan 16 Jamadil Akhir 1440H – Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehudin Ishak mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini hari ini.

Dato’ Sri Dr. Sallehudin dilantik sebagai ahli Majlis yang baharu berikutan persaraan Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

Majlis angkat sumpah tersebut berlangsung di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Sembah Taklimat oleh beberapa agensi di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah.

KDYMM Ser Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan majlis taklimat, manakala majlis diteruskan dengan sesi Mesyuarat Majlis kali ke-175 hari ini dipengerusikan oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan selaku Timbalan Yang Dipertua, MUIP.

Turut sama hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Sri Haji Shamsulbahri Haji Ibrahim, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman dan ahli-ahli Mesyuarat Majlis.