PEKAN 22 Febuari 2019 Bersamaan 17 Jamadil Akhir 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Perlantikan Pengerusi dan Ahli- Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang yang berlangsung di Bilik Menghadap Besar, Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Baginda berangkat tiba pada pukul 10.00 pagi, disambut oleh paduka adinda, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj dan Yang Amat Mulia Tengku Ariff Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Shah.

Majlis perlantikan Pengerusi dan Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang hari ini, berikutan paduka anakanda Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tiada dalam negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Sultan Pahang telah mengampuni limpah perkenaan dengan kuasa sebagai sultan dan raja pemerintah melantik Pengerusi dan Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang bagi menjalankan tugas-tugas mulai 15 Febuari sehingga 15 Disember 2019.

Surat cara perlantikan dibacakan oleh Orang Besar Berempat, Yang Di-Hormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman mendahului penerima pengurnian surat cara perlantikan sebagai Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang yang berkuatkuasa 15 Febuari hingga 15 Disember.

Manakala Ahli-Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang pula ialah Yang Amat Mulia Tengku Ariff Temengong Pahang untuk tempoh 15 Febuari hingga 15 Julai, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam (15 Febuari – 15 April), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini (15 April – 15 Jun), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang

Tengku Hajjah Dato’ Aishah (15 Jun – 15 Ogos), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah (15 Ogos – 15 Okt) dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah (15 Oktober – 15 Disember).

Hadir sama menyaksikan majlis perlantikan tersebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak, Exco-Exco Kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Negeri Pahang.