PEKAN 22 Febuari 2019 Bersamaan 17 Jamadil Akhir 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa sedih dengan dua kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak di daerah ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kes pertama membabitkan pembunuhan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir  baru-baru ini.

Menurut baginda, kejadian kedua pula membabitkan kes dera sehingga meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Batu Balik.

Titah Al-Sultan Abdullah, selain dadah, kes bunuh yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini merupakan gejala negatif yang cukup bimbang baginda.

“Saya mengingatkan semua pihak supaya bukan sahaja mengawasi anak-anak malah ibu bapa yang mungkin mengalami tekanan sehingga menyebabkan kejadian sedemikian berlaku,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan kepada penduduk tanah kesultanan supaya sentiasa mengutama keselamatan keluarga disamping menjaga kebersihan rumah dan kawasan masing-masing.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada  pada Majlis Bersama Penduduk-Penduduk Tanah Kesultanan Daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Pada majlis perjumpaan itu, kira-kira 1,000 orang penduduk tanah kesultanan hadir dan baginda turut beramah mesra serta meraikan dalam majlis minum petang.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak dan Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli.

Turut hadir, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman dan Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Pada majlis yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengampuni limpah perkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 50 orang golongan asnaf dan kira-kira 200 kanak-kanak.