KUANTAN 24 Febuari 2019 Bersamaan 19 Jamadil Akhir 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat majlis risepsi perkahwinan pasangan Mohamad Hazwan Romlee dan Noraisyah Dato’ Sri Dr Haji Omar Othman yang berlangsung di Dewan Utama Kelab Golf Diraja Pahang di sini, hari ini.

Ketibaan baginda berdua tepat pukul 1 tengah hari, disambut oleh bapa pengantin perempuan, Yang Hormat Dato’ Sri Omar Othman dan isteri Datin Sri Dato’ Hajjah Mimi Asmara Abdul Malik.

Majlis dimulakan dengan majlis menghadap pasangan ‘Raja Sehari’ dan persembahan cenderahati dibilik khas sebelum pasangan pengantin beredar masuk mengambil tempat dipelamin untuk majlis merenjis air mawar.

Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mendahului upacara merenjis keatas kedua pengantin baharu, diikuti Raja Permaisuri Agong.

Turut merenjis, Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj, Ahli Majlis Pemangku Raja Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam dan suami, Dato’ Sri Mohamahd Taufik Al Ozier dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dato’ Sri Utama Dr Haji Mohd Khalil Yaakob, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.

Kedua ibu bapa pasangan pengantin mengakhiri majlis merenjis diikuti sesi bergambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebelum beredar ke majlis santapan.

Tetamu lain yang hadir, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan isteri, mantan Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob dan isteri Datin Sri Diraja Dato’ Hajjah Junaini Kassim.

Sementara itu, bapa pengantin perempuan yang juga mantan exco kerajaan Pahang, Dato’ Sri Omar ketika persembahan ucapan menjunjung kasih yang berselang dengan pantun dan seloka telah mencuit hati Seri Paduka Banginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.

Antara pantun dan seloka yang dapat dipetik daripada ucapan itu,;

Tanam tebu di atas bukit,
Tanam jua sipohon ketapi,
Sudi tuanku bukan sedikit,
Ibarat laut tak bertepi.

Jentayu si burung jentayu,
Hinggap seekor ditepi pengkalan,
Bunga yang kembang pastikan layu,
Budi tuanku tetap berkekalan.

Bukan raja sebarang raja,
Taja hulubalang panglima berempat,
Bukan raja sebarang raja,
Raja penyayang,bijaksana dan berdaulat.

Apa tanda raja penyayang?,
Membantu rakyat susah dan senang,
Bertemu rakyat tak kira siang dan malam, Jasa budinya sentiasa dikenang.

Apa tanda raja bijaksana?,
Lantunan ideal bernasnya persis seorang sarjana, Unggul aspirasinya bak kilauan sebutir mutiara,Tangkas menangkap walau tersurat maknanya “umpama pepatah”, berkilat ikan di air tuanku dah tahu jantan betinanya.

Apa tanda raja berdaulat?,
Negeri makmur rakyat berpadu erat, Sentiasa sihat, tampan dan bertambah hebat, Bila merenung ramai yang pucat, tak berkata apa-apa, kecuali berdiri tercegat, tetapi bila tuanku senyum ramai jugak yang terpikat.