TEMERLOH 21 Mac 2019 Bersamaan 14 Rejab 1440H – Seramai 16 orang peniaga makanan yang ditimpa musibah kebakaran sederet gerai makanan di Bukit Angin, Ahad lalu, hari ini, menerima kurniaan sumbangan daripada Yayasan Istana Abdulaziz dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Majlis pengurniaan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut memuliakan keberangkatan anakanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu ialah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd.Sharkar Bin Haji Shamsudin dan YB. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Haji Nazri bin Ngah.

Yang Amat Mulia Tengku Muhammad turut meluangkan masa berangkat melawat gerai-gerai yang musnah dalam kebakaran itu dan beramah mesra dengan mangsa.

Terdahulu, keberangkatan tiba tetamu diraja itu disambut Pegawai Daerah Temerloh merangkap Pengerusi Bencana Daerah, Yang Hormat Dato’ Azlan Mohd Yaman dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Temerloh, Puan Jezlily Binti Jamaluddin,.

Sebanyak 16 unit gerai menjual makanan di Bukit Angin milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 6.00 pagi, Ahad lalu.

Mangsa terlibat turut menerima sumbangan daripada YB. Dato’ Sharkar dan Ahli Dewan Undangan Kuala Semantan,YB. Dato’ Wan Haji Nor Azmi Mat Ludin.yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim bin Muda, Isnin lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang,

Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, YB. Dato’ Haji Nor Azmi dan Ahli Dewan Undangan Mentakab, YB. Encik Woo Chee Wan dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.