KUANTAN. 15 April 2019 Bersamaan 9 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak sewajarnya menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. Baginda menzahirkan kebimbangan akhir-akhir ini apabila segelintir pihak menghina Raja dan kesucian Islam.

“Sebagai negara yang meletakkan Raja kuasa tertinggi, penghinaan terhadap institusi Raja dan agama Islam tidak boleh dibiarkan serta dipandang enteng. Adalah wajar tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap pihak terbabit dalam memastikan martabat institusi Raja dihormati oleh semua pihak.

“Selain itu, saya melihat pelbagai anasir negatif mula menular dikalangan rakyat beragama Islam, termasuk kefahaman Islam liberal serta penerimaan terhadap golongan menyalahi fitrah manusia seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)”, Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal turut menerima hormat diraja dan memeriksa perbarisan kawalan kehormat panji-panji pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia yang terdiri daripada empat pegawai dan 148 anggota lain-lain pangkat.

Pada masa yang sama ketika titah diraja, Tengku Hassanal mahu Kerajaan Pahang mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung hasil pendapatan daripada sumber hutan dan bahan mineral.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab serta kerjasama kerajaan negeri mengenal pasti sumber kekayaan baharu di Pahang bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber mineral dan sumber asli semata-mata. Usaha ini penting dalam membawa perkembangan dan pemantapan ekonomi Pahang yang mampan.

“Dalam kita mengejar peningkatan hasil, saya berharap kawasan hutan di Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik dan seterusnya memperkasakan sektor eko-pelancongan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar prinsip integriti sentiasa menjadi pegangan semua yang terbabit secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan memberi keutamaan terhadap interaksi bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dasar dan tadbir urus baik adalah kunci kepada kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat. Maka, adalah penting sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri untuk memiliki integriti yang tinggi.

“Kerajaan negeri juga perlu meneliti semula keperluan pembangunan infrastruktur mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan (peruntukan) pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan rakyat di kawasan luar bandar,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan pemulangan sebanyak 50 peratus cukai pelancongan kepada Pahang yang sudah pasti dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan aktiviti pemuliharaan, menaik taraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini.

Turut berangkat sama, Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah.

Mengiringi sama, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang Amat Mulia Mejar Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah dan isteri dan Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan dan isteri.Istiadat Perasmian Sidang Dun-1 Istiadat Perasmian Sidang Dun-2 Istiadat Perasmian Sidang Dun-3 Istiadat Perasmian Sidang Dun-4 Istiadat Perasmian Sidang Dun-5 Istiadat Perasmian Sidang Dun-6 Istiadat Perasmian Sidang Dun-7 Istiadat Perasmian Sidang Dun-8 Istiadat Perasmian Sidang Dun-9 Istiadat Perasmian Sidang Dun-10 Istiadat Perasmian Sidang Dun-11 Istiadat Perasmian Sidang Dun-12 Istiadat Perasmian Sidang Dun-13 Istiadat Perasmian Sidang Dun-14 Istiadat Perasmian Sidang Dun-15 Istiadat Perasmian Sidang Dun-16 Istiadat Perasmian Sidang Dun-17 Istiadat Perasmian Sidang Dun-18 Istiadat Perasmian Sidang Dun-19 Istiadat Perasmian Sidang Dun-20 Istiadat Perasmian Sidang Dun-21