PEKAN. 20 April 2019 Bersamaan 14 Syaaban 1440H – Situasi masyarakat terbuka kini menjadikan konsep institusi beraja berfungsi sebagai semak dan imbang (check and balance) bagi menangani isu semasa kini, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, fungsi berkenaan adalah tuntutan semasa dan kewajaran dalam memelihara serta memupuk tradisi.

“Kita boleh lihat dalam isu ICERD dan Statut Rom yang dilihat mampu menggugat kedaulatan negara. Jadi di sinilah letaknya keperluan fleksibiliti dalam usaha melaksanakan sesuatu dasar dan penetuan tindakan,” titahnya.

Baginda bertitah pada Kolokium Diraja “Daulat Tuanku” di Panggung Tun Razak Muzium Sultan Abu Bakar di sini.

Hadir sama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengurus Besar Muzium Sultan Abu Bakar, Yang Hormat

Dato’ Ahmad Farid bin Abdul Jalal.

Mengulas lanjut Tengku Hassanal bertitah Majlis Raja-Raja menjalankan fungsi check and balance di peringkat negara dan ia sangat berkesan dalam menyatupadukan rakyat.

“Institusi beraja yang wujud sebati dalam masyarakat sejak lebih 600 tahun lalu dan telah membuktikan keberkesanan dalam menangani penjajahan, membina negara yang merdeka dan menghadapi isu globalisasi kini yang sangat memerlukan perpaduan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah usaha mengupas sejarah berkaitan institusi Diraja yang dijalankan melalui Kolokium yang diadakan dapat mendekatkan generasi muda dengan kepentingan institusi Diraja negara ini.

“Golongan muda dapat belajar dan faham dengan lebih mendalam mengenai fungsi institusi diraja di negara ini.

“Saya berterima kasih atas perjuangan memartabatkan institusi diraja oleh pihak muzium dengan kehadiran pakar-pakar yang tidak asing lagi dalam bidang masing-masing membantu meningkatkan kefahaman berkenaan kewujudan dan fungsi institusi diraja,” titahnya.

Antara pakar sejarah yang diundang membentangkan kertas kerja, Yang Berbahagia Professor Darin Paduka Datuk Dr. Hajjah Ramlah Adam, Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Yang DiHormati Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Turut hadir, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, Yang Amat Mulia Mejar Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Osman, barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri, ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah.