PEKAN. 21 April 2019 Bersamaan 15 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perjuangan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara umpama permainan catur yang mana segenap lapisan masyarakat mempunyai peranan masing-masing.

Titah baginda, dalam permainan itu, buah catur ‘king’ dijelmakan sebagai kedaulatan sesebuah negara, simbol keagamaan dan kekuatan bangsa. 

“‘Queen’ pula diibaratkan sebagai ‘wazir’ iaitu pemerintah yang mempunyai bidang kuasa cukup luas sehinggakan pergerakannya tidak dibatasi oleh mana-mana buah catur lain, masing-masing mempunyai peranan dalam merangka strategi menangkis serangan buah catur pihak lawan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, melalui peranan tersebut, konsep bersatu menjadi keutamaan terutama dalam mengaburi pihak lawan daripada mengganggu gugat kedaulatan negara, namun tidak melampaui batas. 

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kejohanan Catur Antarabangsa Terbuka Pahang 2019, Piala Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, di Hotel Ancasa di sini hari ini.

Sementara itu, dua peserta Filipina mengungguli kategori terbuka antarabangsa pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari.

Dimakiling Oliver dinobat juara selepas menewaskan rakan senegara Haridas Pascua pada perlawanan akhir.

Juara kejohanan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala pusingan dan medal. Manakala naib juara menerima RM4,000 dan medal. 

Tempat ketiga dimenangi oleh peserta Uzbekistan, Barsov Alexei yang pulang dengan hadiah wang tunai RM2,000 berserta medal.

Sementara itu, bagi kategori Challenger, Abu Kasim Kamar Dani muncul juara, Farizal Muhd Fikri (naib juara) dan Mohd Kahar Muhd Hazwan Haziq ditempat ketiga.

Manakala kategori bawah 12 tahun dimenangi Mohd Kahar Muhd Hazim Hazami, tempat kedua Meor Arif Rashidi Ayib Rosdi dan ditempat ketiga, Akhramsyah Asraf Alimuddin Zahin.

Kejohanan tersebut disertai oleh 450 orang pemain catur tempatan dan luar negara yang bertanding dalam tiga kategori, Terbuka, “Challenger” dan Bawah 12 tahun.

Pemangku Raja Pahang juga turut mengampuni limpah perkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang serta bergambar bersama jawatankuasa kejohanan dan para pemenang.

Terdahulu, keberangkat tiba Tengku Hassanal disambut oleh Penasihat 1 Persatuan Catur Pahang (PCP), YH Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Penasihat 2, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abd Muttalib dan Presiden PCP, Puan Hamidah Abdul Hamid.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim bin Muda.

Turut memuliakan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Mohd. Zakaria Ahmad dan Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli.

Sementara itu, Presiden PCP, Puan Hamidah melahirkan rasa berpuas hati dengan sambutan peserta dari dalam dan luar negara yang menyertai pada kejohanan tahun ini.

Menurutnya, kerjasama erat dengan penaja utama, Yayasan Pahang dan penaja-penaja, PCB akan meneruskan penganjuran kejohanan untuk tahun kelima, tahun depan.

“Venue kejohanan tahun depan kita telah bersetuju memilih Kuala Lipis,” katanya.