PEKAN 23 April 2019 Bersamaan 17 Syaaban 1440H – Program Plogging Daerah Pekan 2019 yang diadakan di sepanjang trek rekreasi Pekan Riverfront diceriakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda mengampuni limpah perkenan bercemar duli sebagai tanda sokongan di atas usaha kumpulan pelajar-pelajar yang bergerak aktif di bawah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Youth For Change (YFC) dalam menganjurkan program yang dinamakan Program Plogging. ‘Plogging’ adalah gabungan jogging dengan mengutip sampah disekeliling kawasan program yang dianjurkan.

Program tersebut bermula sebagai aktiviti teratur di negara Sweden sekitar 2016 dan merebak ke negara lain pada tahun 2018, berikutan peningkatan kebimbangan mengenai pencemaran plastik. Program tersebut yang julung kali diadakan di daerah ini dengan kerjasama Pejabat Daerah Pekan telah mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 450 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan pelajar-pelajar sekolah menengah sekitar bandar diraja Pekan.

Antara yang menghantar peserta ialah DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia, pelajar-pelajar sekolah menengah, NGO dan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan dan swasta. Baginda bercemar duli berangkat menyertai bersama 450 orang peserta beriadah sambil melakukan aktiviti mengutip sampah-sampah disepanjang 3 kilometer trek rekreasi Pekan Riverfront, bermula dari Jambatan Sultan Abu Bakar hingga ke Perhentian Rehat dan Rawat Serambi Pekan dekat Kampung Ketapang Hilir.

Terdahulu, keberangkat tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pegawai Daerah Pekan, Yang Hormat Dato’ Zaliza Zulkipli.

Turut hadir, Ahli Undangan Negeri Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sheikh Puzi Sheikh Ali, Ahli Dewan Undangan Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, Yang Hormat Dato’ Ros Shamsul Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Pekan, Amran Sidik.

Tengku Hassanal turut mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan straw mesra alam “Drinking Stainless Steel Metal” kepada orang ramai yang datang beriadah termasuk peserta-peserta program.

Disamping itu juga, program tersebut memberi ruang yang lebih dekat antara raja dan generasi muda yang menyertai program itu. Sementara itu, Penasihat kepada YFC, Datin Sri Tan Puay Ling ketika ditemui memberitahu, objektif YFC ialah ingin mendidik anak-anak muda tentang memulihara alam sekitar termasuk bahaya penggunaan plastik yang diluar kawalan.

Menurutnya, bukan hanya isu alam sekitar dititik berat kepada peserta program ini tetapi juga menerap sikap dan budaya menjaga persekitaran khusus kepada generasi muda.

“Saya memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin D Roosevelt, kita tidak boleh membina masa depan untuk belia kita …tetapi kita boleh membina belia kita untuk masa depan.” tegas Tan Puay Ling yang lebih dikenali Datin Sri Ling.

Menurutnya, beliau akan terus menyokong serta membantu YFC yang diterajui anak lelakinya, Ti J-Hxian bersama rakan sebaya Mohd Aliff Amirul Mohd Rasip dan Adam Abdullah sebagai pengasas utama YFC.

Menurut Datin Sri Ling, program semalam memperlihatkan sikap kurang kesedaran dikalangan orang ramai menjaga alam sekeling apabila peserta-peserta plogging telah mengutip sejumlah 90 kilogram sampah sepanjang 3 kilometer sepanjang trek reakriasi Pekan Riverfront dari Perhentian Rehat dan Rawat Serambi Pekan hingga Jambatan Sultan Abu Bakar.

Menurutnya, selepas di asingkan terdapat 40 peratus daripada sampah-sampah tersebut adalah bahan buangan yang boleh jual untuk dikitar semula. Tambah beliau lagi, YFC menyahut titah Pemangku Raja Pahang supaya program ini diperluaskan di daerah-daerah lain di negeri ini.

Baginda turut mencadangan Kuantan pada bulan Ogos akan datang serta menzahirkan perkenan bercemar duli menyertai program tersebut.Program Plogging Daerah Pekan (1) Program Plogging Daerah Pekan (2) Program Plogging Daerah Pekan (3) Program Plogging Daerah Pekan (4) Program Plogging Daerah Pekan (5) Program Plogging Daerah Pekan (6) Program Plogging Daerah Pekan (7) Program Plogging Daerah Pekan (8) Program Plogging Daerah Pekan (9) Program Plogging Daerah Pekan (10) Program Plogging Daerah Pekan (11) Program Plogging Daerah Pekan (12) Program Plogging Daerah Pekan (13) Program Plogging Daerah Pekan (14) Program Plogging Daerah Pekan (15)