KUALA LUMPUR 24 April 2019 Bersamaan 18 Syaaban1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat menziarah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Yang Berhormat, Dato’ Sri Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad di hospital swasta, Pusat Rawatan Prince Court (PCMC) di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 4.50 petang disambut oleh Pegawai Pengurusan Pusat Perubatan Prince Court Medical Centre diketuai Medical Director, Datuk Dr. Kuljit Singh.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya diiringi ke bilik rawatan Dato’ Sri Syed Ibrahim di aras tiga.

Baginda mengambil masa kira-kira 30 minit bersama Dato’ Sri Syed Ibrahim yang diteman isterinya Datin Sri Sharifah Farunai Syed Ahmad dan ahli keluarga terdekat sebelum berangkat pulang.

Syed Ibrahim, 52, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau mendapatkan rawatan awal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSAS) Temerloh, 11 April lalu.

Bagaimanapun, beliau ditahan untuk rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) HoSAS sebelum dikejarkan ke PCMC di Ibu Negara bagi mendapatan rawatan altanatif, Sabtu lalu.

Selepas lima hari menerima rawatan di PCMC, Syed Ibrahim memberitahu kesihatannya bertambah baik.

“Saya amat bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah dikurniakan kesihatan yang bertambah baik hari ini”,katanya.

Syed Ibrahim yang kelihatan semakin ceria melahirkan perasaan terharu apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong turut berangkat menziarahnya, petang tadi.

“Saya serta keluarga menyembah ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kesisi Kebawah Duli Tuanku Agong. Keberangkat baginda telah menyuntik semangat, motivasi dan berdoa untuk saya segera sembuh”, katanya ketika ditemui pegarang Portal Diraja Pahang.

Syed Ibrahim turut berterima kasih kepada semua yang datang ziarah dan yang mendoakan kesihatannya.

“Khusus penghargaan terima kasih saya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, rakan-rakan exco negeri Pahang”, tambahnya.