RAUB 27 April 2019 Bersamaan 22 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan Majlis Perasmian 100 Tahun Bukit Fraser, di sini malam tadi.

Mengiring baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis gilang gemilang itu dianjurkan Tourism Pahang dengan kerjasama Tourism Malaysia akan disusuli pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun 2019 sempena meraikan 100 tahun pembukaan Bukit Fraser.

Sementara itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri amat menitikberatkan perkembangan dan kemajuan negeri termasuk eko pelancongan yang berkaitan alam sekitar sepertimana titah Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah.

Menurutnya, 57 peratus atau kira kira 2.057 juta hektar daripada keluasan negeri Pahang masih berhutan.

Wan Rosdy berkata, baginda Al Sultan dalam titah diraja sentiasa mengingatkan sensitiviti dalam mendahulukan aspek ekologi atau alam sekitar.

“Apatah lagi Pahang mempunyai kawasan tanah tinggi yang menjadi tumpuan pelancongan seperti Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Oleh kerana itulah kerajaan Pahang sentiasa menjunjung titah dalam pentadbiran negeri untuk sentiasa waspada agar alam sekitar yang dijaga di bumi Pahang ini akan terus terpelihara”, Wan Rosdy berkata demikian dalam persembahan ucapan pada majlis perasmian 100 hari Bukit Fraser, di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, Bukit Fraser telah dikenali sekaligus menjadi tumpuan para pencinta alam dan destinasi percutian pilihan bagi pasangan yang mahu menghirup udara segar dan menikmati ketenangan di tanah tinggi itu.

“Statistik kedatangan pelancong bagi tempoh lima tahun sejak 2014 hingga 2018, adalah 609,505, daripada 103,694 orang yang melancong ke Bukit Fraser tahun lalu, sebanyak 3,724 orang adalah dari luar negara, iaitu 1,919 Singapura, 942 (Jepun), 438 (United Kingdom) dan 246 dari India serta 179, China.

Turut hadir, kerabat-kerabat bergelar, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Ishak Mohamad, barisan ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.