PEKAN 7 Mei 2019 Bersamaan 3 Ramadan 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli berangkat ke Majlis Tahlil dan Istiadat Ziarah Makam Diraja Sempena Istiadat Hari Hol Yang Ke-45 Kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah di sini, hari ini.

Mengiringi sama, Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Temengong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, kerabat-kerabat bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, Kaum Kerabat Diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Istana.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yassin diikuti bacaan tahlil yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman.

Sebaik selesai bacaan doa tahlil, Tengku Hassanal mengampuni limpah perkenaan menjirus air tahlil dan menabur bunga dimakam paduka Al-marhum moyang baginda, Al-Marhum Sultan Abu Bakar.

Baginda turut berbuat demikian dimakam paduka moyang, Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah Al-Marhum Sultan Iskandar Shah dan pusara paduka ninda, Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan Rahimahallah binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak, barisan exco negeri dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah.

Pemangku Raja Pahang kemudiannya berangkat ke majlis pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan dan majlis berbuka puasa di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Seramai 114 golongan asnaf dari sekitar daerah Pekan menerima kurniaan sumbangan yang disempurnakan oleh Tengku Hassanal.

Sumbangan tersebut ialah sumbangan keluarga baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz dan wang zakat, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Baginda turut meraikan penerima sumbangan dan tetamu dalam majlis berbuka puasa serta menunaikan solat fardu maghrib berjemaah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini.