KUANTAN 22 Mei 2019 Bersamaan 17 Ramadhan 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini. Yang Amat Berhomat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kemangkatan Sultan Pahang Ke-V.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’…Al-Fatihah”, kenyataan rasmi Wan Rosdy yang diedarkan kepada pihak media, di sini hari ini.

Sultan Pahang Ke-V, Sultan Haji Ahmad Shah menaiki takhta kerajaan Pahang 7 Mei 1974 selepas kemangkatan paduka ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar. Almarhum turut dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-VII,
untuk tempoh lima tahun 26 April 1979 – 24 April 1984.

Jenazah Almarhum telah pun dibawa ke Istana Negara untuk urusan jenazah, mandi, kapan dan solat ebelum diterbangkan ke Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum diterbangkan ke Pengkalan TUDM Kuantan. Dari TUDM, jenazah Al-Marhum paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah akan dibawa bersemayam di Istana Abu Bakar sementara menunggu keberangkat pulang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari London. Turut berangkat pulang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

AL-Sultan Abdullah dan paduka anakanda, Tengku Hassanal dijangka akan sampai di Istana Abu Bakar, awal pagi esok. Manakala Istiadat penghormatan terakhir daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, kaum kerabat, kenamaan dan rakyat jelata juga di Istana Abu Bakar pada ketetapan masa yang akan dikeluarkan oleh pihak istana.

Jenazah Almarhum Sultan Pahang Ke-V akan disemadikan di Makam Diraja Pekan berselahan Makam isteri baginda, Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, selepas solat zohor, esok.