PEKAN. 22 Mei 2019 Bersamaan 17 Ramadhan 1440H – Jenazah Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Mu’adzam Shah selamat tiba di sini.

Jenazah Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Pekan, selepas solat zohor esok.

Turut terlibat pada istiadat itu, 21 orang jejawat dan empat pembawa payung tubuh yang mengiringi dikiri kanan ketika keranda Almarhum diusung.

Mengiring dalam penerbangan tersebut bersama jenazah Almarhum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Kalsom dan paduka-paduka anakanda puteri Almarhum.

Pesawat Udara Tentera Udara Malaysia A409M yang membawa jenazah berlepas dari Pengkalan Udara Subang mendarat di sini kira-kira jam 7.15 petang.

Jenazah Almarhum diberi sambut penuh Istiadat diraja dan tabik hormat diraja oleh pasukan kawalan kehormatan TUDM, sebaik pintu belakang pesawat dibuka, diikuti lagu ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’ dimainkan oleh pasukan pancaragam TUDM.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad merupakan Kolonel Yang DiPertua TUDM.

Sebaik keranda diusung turun dari pesawat, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan oleh RejimenKor Artileri Diraja (Istiadat) bagi mengiring jenazah hingga ke kenderaan khas yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Jenazah Almarhum kemudian meninggalkan pengkalan udara Kuantan kira-kira jam 7.40 malam, menuju Istana Abu Bakar.

Hadir sama, menyambut jenazah Almarhum ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Ishak Muhammad, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, barisan exco kerajaan dan pegawai kanan kerajaan.

Turut hadir lebih 2,000 rakyat jelata yang datang berkumpul di Pengkalan Udara Kuantan, seawal jam 3.00 petang tadi.

Di Istana Abu Bakar, jenazah di letakkan bersemayam di pentas khas di tengah-tengah Balairung Seri untuk Istiadat penghormatan terakhir.

Penghormat terakhir terbuka kepada orang ramai bermula 10 malam hingga 11 pagi esok.

Manakala Duli-Duli Raja-Raja, Orang Kenamaan dan Kerabat diraja akan bermula jam 11.00 pagi – 1.00 tengah hari.