KUANTAN 23 Mei 2019 Bersamaan 18 Ramadhan 1440H – Jenazah Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, di sini petang ini. Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Kebawah Duli Yang Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Kebawah Duli Yang Mahà Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan paduka adinda baginda Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj, meletakkan batu nesan di pusara Almarhum paduka ayahanda baginda berdua. Turut sama di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan isteri Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah Afifurlah, Duli Teramat Mulia Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob

Sahibus Samahah Mufti Pahang Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman membacakan talkin dan bacaan tahlil. Terdahulu, beliau mengimamkan solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam. Solat jenazah itu disertai kaum kerabat Pahang, pembesar negeri, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, beberapa orang menteri pusat dan ribuan rakyat yang turut berjemaah.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi semalam. Sementara itu, Al-Sultan Abdullah yang baru tiba dari London pada jam 9.30 pagi bercemar duli berangkat masuk di Balairung Seri pada 10.40 pagi.

Baginda diiringi paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Seri Paduka Baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Kalsom berkenan menerima ziarah penghormatan terakhir daripada orang kenamaan yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, dan pemimpin peringkat negeri dan pusat bermula pukul 11.00 pagi.

Selain Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Ibrahim yang ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, turut berangkat menziarahi Almarhum ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff. Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan TYT Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah pula tiba 11.05 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum selain Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Turut memberi penghormatan, mantan Perdana Menteri, Yang Dihormati Orang Kaya Indera Shah Bandar, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Toh Puan Indera Datin Sri Rosmah Mansor.

Jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 10.30 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi. Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.

Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’. Diikuti, kawalan kehormat memberikan ‘tafakur junam senjata’ sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.30 petang. Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berjalan kaki sejauh 2.2 kilometer mengiringi kereta jenazah dari Istana Abu Bakar ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Seramai 75 orang yang terdiri pegawai dan anggota tentera pelbagai pangkat, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia mendahului pergerakan van jenazah, diikuti kumpulan 25 orang jejawat, kadi serta pegawai agama Istana serta masjid negeri. Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan oleh pasukan Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman.Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (1) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (2) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (3) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (4) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (5) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (6) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (7) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (8) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (9) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (10) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (11) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (12) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (13) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (14) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (15) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (16) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (17) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (18) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (19) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (20) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (21) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (22) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (23) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (24) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (25) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (26) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (27) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (28) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (29) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (30) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (31) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (32) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (33) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (34) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (35) Majlis Istiadat Pemakaman KDYMM Paduka Ayahanda (36)