KUANTAN 26 Mei 2019 Bersamaan 22 Ramadhan 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat kembali ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom hari ini.

Baginda berangkat pulang ke tanah air Khamis lalu apabila menerima berita sedih kemangkatan nenda baginda, Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada pagi Rabu.

Tengku Hassanal akan menyambung pengajia dalam bidang Ketententeraan dan Strategik sehingga ditauliahkan Disember tahun ini.

Paduka bonda baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut bercemar duli di Lapangan Terbang Sultan Ahmad (LTSAS), di sini kira-kira pukul 7.00 malam.

Tunku Azizah mengucapkan selamat berangkat kepada paduka anakanda baginda yang berlepas dengan pesawat Malaysian Airline (MAS), 7.50 malam tadi.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Mohammad, Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak dan Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman.

Terdahulu, baginda ditemani paduka bonda tersayang, Tunku Azizah berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Al-Fadil Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Mohd Zain di Bilik Kenamaan LTSAS.

Sebelum Tengku Hassanal menaiki pesawat, Mufti Pahang memimpin bacaan doa keberangkatan.

Turut hadir, Yang DiHormati Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Exco Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Dato’ Mohd Fakharuddin Ariff dan Dato’ Nazri Ngah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan Al-Fadil Kadi Kuantan, Abdul Zaki.