TEMERLOH. 28 Mei 2019 bersamaan 23 Ramadan 1440H – Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Zakat disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Seramai 175 orang asnaf menerima wang tunai sumbangan dari Yayasan Istana Abdulaziz dan juga Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berserta hamper.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Masjid Nurul Iman turut dihadiri oleh Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan pemimpin-pemimpin setempat.

Selepas majlis berbuka puasa, YAM Tengku Amir bersama-sama hadirin menunaikan solat maghrib serta turut diadakan majlis tahlil sempena kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ke-5, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.