KUANTAN 30 Mei 2019 Bersamaan 25 Ramadhan 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat pada Program Membeli Belah pakaian raya di sini hari ini.

Mengiringi sama, paduka anakanda baginda putera dan puteri, Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Yang Amat Tengku Puteri Jihan Azizah  ‘Athiyatullah.

Keberangkat baginda sekeluarga menceriakan 106 kanak-kanak istimewa bukan sahaja mendapat layanan membeli pakaian raya malah mereka amat teruja untuk melihat lebih dekat wajah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Program Membeli-Belah anjuran Yayasan CIMB memperuntukan RM200 setiap seorang bagi membeli pakaian raya di Pasar Raya Mydin

Kanak-Kanak tersebut dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Alor Akar dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom Jalan Kuantan-Pekan.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Dato’ Hamidah Naziadin.

Sepanjang program kira-kira 1 jam 30 minit itu , Al-Sultan Abdullah diiringi paduka anakanda putera dan puteri berkenan mengiringi kanak-kanak berkenaan memilih baju raya, kasut dan mainan di pasaraya tersebut.

Manakala sukarelawan CIMB turut memainkan peranan melayani sebahagian daripada kanak-kanak yang terlibat.

Pada masa yang sama, baginda turut berkenan mengurniakan ‘duit raya’ kepada orang ramai termasuk kanak-kanak yang turut mengunjungi pasaraya tersebut.